Pempengaruh dan usahawan, Muhammad Faiz Aizif atau lebih dikenali sebagai Faiz Soul, akhirnya tampil menjelaskan kontroversi yang timbul selepas dirinya dijemput merasmikan majlis anugerah akademik di sebuah sekolah di Kedah baru-baru ini.
Dalam video penjelasan yang dimuat naik di media sosial, Faiz mengakui dia sendiri terkejut apabila dimaklumkan bakal menjadi perasmi majlis tersebut. Namun, demi menghormati jemputan dan menjaga hubungan baik dengan warga sekolah, dia memilih untuk hadir.
Menurutnya, kehadirannya bukan atas kapasiti selebriti atau figura politik, tetapi sebagai usahawan yang diundang untuk memberi inspirasi kepada pelajar.
Untuk makluman, saya hadir di sekolah tersebut atas tiket seorang usahawan. Saya hadir sebagai pengarah urusan syarikat saya sendiri, untuk memberi suntikan kepada pelajar supaya belajar lebih agresif dan jadi seorang yang berjaya.
Topik yang saya sampaikan pun hanya tentang Hari Kecemerlangan Pelajar yang kita nak raikan sama-sama.
Nafi Dakwaan Terlibat Politik atau Guna Dana Kerajaan
Faiz turut menepis dakwaan bahawa kehadirannya mempunyai kaitan dengan parti politik atau peruntukan kerajaan.
Saya bukan ahli politik, saya bukan daripada mana-mana politik. Saya hadir ke sekolah menggunakan duit saya sendiri, duit perniagaan saya sendiri.
Kereta Vellfire yang saya hadir ke sekolah, kereta atas nama saya sendiri. Pekerja yang saya bawa adalah pekerja saya sendiri. Saya tak ada dana kerajaan, tak ada tender projek kerajaan.
Katanya, semua perbelanjaan ditanggung hasil titik peluhnya yang selama ini berniaga di tepi jalan, menjual kek, jus dan produk minuman.
Faiz berpandangan, tidak salah sekolah menjemput pempengaruh, penyumbang atau usahawan sebagai perasmi kerana ia boleh membuka peluang kerjasama yang memberi manfaat kepada pelajar.
Isu timbul selepas ada pihak mempersoalkan sama ada tindakan sekolah itu melanggar garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Dalam KPM ada pekeliling yang tidak membolehkan anda menjemput orang kenamaan dan ahli politik tanpa kelulusan… tapi saya hadir bukan sebagai orang politik. Saya hadir sebagai pempengaruh dan usahawan untuk memberi suntikan kepada pelajar.
Faiz turut mendedahkan bahawa jemputan itu membuka peluang untuknya kembali menyumbang kepada sekolah berkenaan.
Apa saya bantu tau? Saya tanya guru besar, ‘GB, ada asnaf tak?’ GB kata ada, 204 orang. Saya kata boleh tak tahun depan saya nak bantu baju, alat tulis untuk 204 orang itu.
Video Faiz merasmikan majlis tersebut tular di media sosial dan mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen, dengan ada yang mempertikaikan kelayakan beliau, manakala sebahagian lain mempertahankan usaha dan sumbangannya.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
