Pelakon Daniel Fong tampil secara berseloroh menafikan dakwaan dirinya sebagai individu yang dikaitkan dengan masalah bau badan di set penggambaran.
Dalam video TikTok ringkas, Daniel berkata, “BTS (belakang tabir) Kerana Seorang Lelaki, saya ada pakai deodoran okey,” sambil menunjukkan dirinya bersama Harissa Adlynn dalam sesi fotografi promosi drama terbaru mereka.
Isu itu timbul selepas Harissa mendedahkan dalam satu temu bual bahawa dia pernah berlakon bersama seseorang yang mempunyai masalah bau badan, tanpa menyebut nama. Namun, netizen mula membuat spekulasi, dan nama Daniel turut disebut memandangkan mereka baru bekerjasama.
Walau bagaimanapun, ramai pengikut TikTok Daniel menafikan dakwaan tersebut, menyifatkan pelakon berdarah campuran Cina-Mongolia itu sebagai seorang yang sangat menjaga kebersihan dan penampilan.
Malah, ada yang bergurau mengatakan Daniel ke gimnasium pun tampak tidak berpeluh. Daniel turut menerima pujian kerana menangani isu ini dengan cara santai dan berkelas.