Pencipta kandungan terkenal, Nuseir Yassin atau lebih dikenali sebagai Nas Daily, sekali lagi mencetuskan perdebatan selepas berkongsi pengalaman memasuki Malaysia menggunakan pasport kedua miliknya.
Dalam video tersebut, beliau mendedahkan pernah dihalang memasuki Malaysia empat tahun lalu kerana menggunakan pasport Israel. Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan melarang kemasukan pemegang pasport negara tersebut.
“Saya diharamkan memasuki Malaysia. Disebabkan pasport saya. Empat tahun lalu, saya berdiri di sempadan ini dan dinafikan kemasukan. Jadi saya mendapatkan pasport kedua. Dan saya kembali semula. Kali ini, saya berjaya masuk.”
Menurutnya, beliau kemudian menggunakan pasport kedua dari Saint Kitts and Nevis untuk memasuki Malaysia pada Oktober 2022 dan sekali lagi pada 2025.
Sumber : paul quiroga “Di dalamnya, saya menemui sesuatu yang tidak dijangka. Hutan hijau. Hujan tropika. Makanan murah. Dan budaya yang pelbagai. Melayu. Cina. India. Hidup bersebelahan.”
Beliau turut menegaskan bahawa walaupun kerajaan sebelum ini tidak membenarkannya masuk, layanan rakyat Malaysia amat berbeza daripada apa yang disangka.
“Saya diberitahu saya tidak dibenarkan berada di sini. Tetapi apabila sudah berada di dalam, orang ramai menyambut saya dengan baik. Dan itulah yang saya mahu ingat. Bukan bahawa kerajaan tidak mahukan saya masuk. Tetapi bahawa rakyat memilih untuk berbuat baik kepada saya.”
Perkongsian tersebut menerima reaksi bercampur dalam kalangan warganet. Ada yang mengalu-alukan kehadirannya serta memuji mesej perpaduan dan keterbukaan yang disampaikan.
Namun, ada juga yang mengecam tindakannya mendapatkan kewarganegaraan kedua semata-mata untuk memasuki Malaysia. Segelintir berpendapat langkah tersebut seolah-olah mempermainkan undang-undang negara memandangkan larangan terhadap pemegang pasport Israel masih berkuat kuasa.
Isu ini sekali lagi mencetuskan perbincangan mengenai dasar imigresen Malaysia, sensitiviti geopolitik dan perbezaan antara pendirian kerajaan serta sikap rakyat terhadap pelawat asing.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
