Pendakwah terkenal dan aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotila (GSF) mendedahkan dia telah dibogelkan selepas diculik dan berada dalam tahanan rejim Israel.
Menurut laporan, PU Rahmat berkongsi tentang perkara tersebut dengan peguam Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Ahmad Nazrin Abu Bakar ketika diminta berkongsi pengalaman tidak dapat dilupakannya sepanjang berada dalam tahanan.
Saya sendiri tiga kali kena bogel, saya tak malu nak cakap benda ini sebab saya percaya kita semua lahir dalam keadaan bogel dan mati dalam keadaan bogel. Kalau ada video ‘leaking’ (tersebar), padam la… Insya-Allah, Allah SWT jaga aib saya.
Tambahnya, dia dibogelkan hanya kerana Israel takut Pu Rahmat memiliki senjata pada badannya. Kongsinya lagi, kejadian pertama berlaku di dalam kapal dan ketika itu hanya ada dia dan tentera Israel.
Kedua di imigresen, ketiga di penjara. Tiga lapisan, tiga kali saya dibogelkan jadi nampak sangat mereka takut dengan senjata.
Bangsa yang penuh dengan ketakutan
Ujar PU Rahmat lagi, dia dapat lihat sendiri ketakutan rejim Israel daripada anggota tentera sehinggalah ke peringkat atas termasuk Menteri Keselamatan negara itu, Itamar Ben-Gvir.
Bila mana tentera Israel, tentera haram masuk, kita perhatikan pergerakan mereka tidaklah kemas mana. Kita walaupun bukan orang dalam bidang tentera, kita nampak mereka sangat berhati-hati atau ketakutan.
Daripada tentera dia ketakutan, imigresen takut, penjara takut senjata, risikan takut dengan kita, menteri pun takut. Mereka ini bangsa penuh dengan ketakutan. Takut dengan diri mereka sendiri sebab mereka tahu mereka buat salah sebab orang salah saja takut.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.