“Saya ‘Diblock’, 2 Tahun Tunggu Tapi Tiada Tindakan” – Firma Perunding Kreatif Dakwa MITI Ciplak Idea Untuk Expo 2025 Osaka

Trending

“Saya ‘Diblock’, 2 Tahun Tunggu Tapi Tiada Tindakan” – Firma Perunding Kreatif Dakwa MITI Ciplak Idea Untuk Expo 2025 Osaka

Seorang individu, Fey Ilyas, mendakwa beliau telah disekat oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) selepas membawa isu berkaitan hak cipta projek Pavilion Malaysia di Expo 2025 Osaka ke perhatian umum menerusi media sosial.

Situasi ini timbul apabila firma perunding kreatif, Current Media Group (CMG) Sdn Bhd, mendakwa hasil kerja mereka digunakan tanpa sebarang bayaran mahupun penghargaan setelah lebih dua tahun mengusahakan projek berkenaan.

Advertisement

MITI Libatkan CMG Bagi Pembangunan Pavilion Malaysia

Dalam satu hantaran di Instagram, Fey Ilyas memperincikan kronologi kejadian bermula tahun 2022 apabila CMG dilantik sebagai perunding kreatif untuk membangunkan konsep, tema, naratif dan arah seni bina Pavilion Malaysia di Expo 2025 yang akan berlangsung di Osaka, Jepun.

“Mereka mengambil hasil kerja kami tanpa membayar sesen pun,” dakwanya.

Untuk makluman, Expo 2025 merupakan pameran antarabangsa berskala besar yang menghimpunkan pencapaian negara-negara seluruh dunia, dan edisi kali ini dijadualkan berlangsung dari 13 April hingga 13 Oktober di Osaka.

Dalam hantaran tersebut, Fey turut mengemukakan pelbagai bukti termasuk dokumen rasmi, kertas kerja, slaid pembentangan, e-mel serta rekod komunikasi lain yang berkaitan dengan MITI.

Setiap dokumen menunjukkan butiran cadangan asal CMG, disertai perbandingan jelas antara hasil kerja mereka dengan aplikasi yang didakwa digunakan oleh MITI.

Menurut dakwaan tersebut, CMG bekerja selama lapan bulan dalam tempoh masa yang ketat, sambil diberikan jaminan bahawa pelantikan rasmi akan dibuat. Namun, pada Januari 2023, mereka dimaklumkan bahawa projek tersebut tidak diteruskan dan hasil kerja mereka dibuka kepada proses tender terbuka.

Tangkapan layar yang dikongsikan menunjukkan konsep asal CMG digunakan secara keseluruhan dalam sesi taklimat tender, termasuk bukti dokumen tender yang masih memaparkan inisial syarikat mereka pada nama fail.

Spesifikasi tender yang dikeluarkan turut menyenaraikan konsep dan naratif yang dibangunkan oleh CMG sebagai sebahagian daripada keperluan hasil kerja.

Persoalan Berhubung Bayaran dan Hak Cipta

Fey mempersoalkan bagaimana boleh diterima bahawa syarikat lain kini dibayar untuk melaksanakan kerja yang telah pun dihasilkan oleh pihaknya.

Beliau turut mendakwa telah bertemu dengan Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, serta menyerahkan surat rasmi, garis masa projek dan dokumen sokongan lain kepada sekretariat Expo.

Walaupun diberikan jaminan bahawa isu ini akan diselesaikan, beliau mendakwa telah dipermainkan selama lebih dua tahun tanpa sebarang penyelesaian konkrit.

Apabila saya cuba bersuara secara terbuka, saya disekat oleh Tengku Zafrul dan turut disekat daripada mengakses akaun rasmi Instagram Expo 2025 Malaysia.

Akhirnya, CMG menerima jawapan bahawa pihak MITI tidak akan membuat sebarang pembayaran, dengan alasan ketiadaan rekod perolehan rasmi.

Isu Maruah dan Keadilan

Fey menegaskan bahawa isu ini bukan sekadar membabitkan hak syarikat beliau, tetapi juga melibatkan soal maruah dan keadilan.

“Kerana berdiam diri hanya melindungi mereka yang terus melakukan perkara ini kepada orang lain,” ujarnya.

Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

anak orang asli cemerlang spm diberi laluan khas
14 hours ago

87 Pelajar Orang Asli Cemerlang Diberi Keistimewaan Laluan Khas Dan Pembiayaan Penuh MARA

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

SUMBER : Instagram

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...