Suami kepada penyanyi Zehra Zambri, iaitu Nur Mohd Iqwan Samsudin, memaklumkan bahawa dirinya kini sudah bersedia untuk melepaskan isterinya demi mengakhiri kemelut rumah tangga yang berlarutan sekian lama.
Bagaimanapun, menurut Iqwan, segala proses perceraian perlu melalui prosedur yang ditetapkan oleh mahkamah, dan beliau menghormati setiap langkah undang-undang yang perlu dilalui.
Perkara ini memang berterusan dan saya ada beritahu dalam mahkamah ingin menceraikan Zehra. Cuma melibatkan seksyen 47 ada fasa yang perlu dilalui, jadi saya hormat keputusan itu.
Saya sudah sedia untuk ceraikan Zehra sebelum ini lagi cuma perlu melalui proses mahkamah. Sangat berat sebenarnya untuk saya lalui perkara ini tapi saya ikut sahaja.
Iqwan berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bangi selepas prosiding mendengar keputusan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) pada Isnin.
Tambahnya, beliau akur apabila kes tersebut kini dibawa ke peringkat Hakam Islah yang dijadualkan berlangsung pada 13 Ogos depan.
Terdahulu, Zehra yang popular menerusi lagu Semalakama telah memfailkan permohonan cerai secara ‘fast track’ terhadap suaminya setelah mendakwa sudah lebih tiga tahun berusaha mempertahankan perkahwinan mereka.
Iqwan sebelum ini turut mendedahkan lima tuntutan yang difailkan oleh Zehra pada 7 Mac lalu, termasuk dakwaan tiada lagi persefahaman, kecuaian dalam tanggungjawab, masalah sikap, pengabaian, serta kenyataan bahawa institusi perkahwinan mereka sudah tidak dapat diselamatkan.
Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 11 November 2021 dan dikurniakan seorang anak perempuan bernama Zahiyah Iqleela, yang kini berusia dua tahun setengah.
Sebelum ini, Zehra pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri pada Oktober 2017 namun bercerai enam bulan kemudian pada April 2018. Iqwan juga merupakan bapa kepada dua anak hasil perkahwinan terdahulu.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.