Mengakui dirinya sentiasa bersedia untuk mendirikan rumah tangga pada bila-bila masa sahaja, penyanyi dan juga pelakon, Sufian Suhaimi mendedahkan dia telah pun mengikuti kursus pra-perkahwinan sebagai langkah persediaan awal.
Penyanyi yang popular dengan lagu Di Matamu ini walau bagaimanapun mengakui dia masih belum mempunyai calon isteri namun sentiasa berdoa agar dipertemukan jodoh yang baik kelak.
Malah, Sufian turut memberitahu bahawa keluarganya telah pun memberi lampu hijau untuk dia membina mahligai perkahwinan.
“Saya sentiasa bersedia untuk berkahwin, bila-bila masa saja. Meskipun sekarang agak selesa hidup solo tapi tidaklah sampai membuatkan saya tak mahu kahwin. Rasa itu ada tapi belum sampai jodoh. Sebagai persediaan saya sudah pun menghadiri kursus pra-perkahwinan beberapa minggu lalu bersama dua orang rakan yang bakal berkahwin tidak lama lagi,”
Dia yang ditemui dalam sebuah majlis di Cheras kelmarin turut menambah, Melihatkan ramai rakan yang sudah mendirikan rumah tangga membuatkan dirinya tergerak untuk menghadiri kursus itu pada Ogos lalu.
Menganggap kursus perkahwinan itu sebahagian daripada majlis ilmu, Sufian juga turut mengikuti kelas itu sebagai menambah bekalan ilmu agama di samping mengisi masa lapang ketika waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dijalankan kini.
Sumber : Kosmo Online