Hanya mahu dikenali sebagai Farah, gadis berusia 21 tahun ini melahirkan rasa terkejutnya apabila membaca kenyataan Shah Jaszle yang menggelar dirinya psiko semalam. Bertemu dengan wartawan Harian Metro, Farah memberitahu yang dia tidak akan berdiam diri dan bodoh bukan seperti disangka.
Menurut Farah, kenyataan Shah Jaszle adalah penipuan dan permainan murah seorang lelaki yang ingin lari daripada masalah. Kata Farah:-
Dakwaan kononnya saya perempuan aneh dan psiko sangat melampau dan saya tidak akan berdiam diri kerana saya bukannya bodoh seperti yang dia sangka. Bukti dan saksi yang tahu kami bercinta ada pada saya dan jangan sampai semuanya didedahkan jika keadaan mendesak. Malah saya masih menyimpah semua perbualan kami menerusi BBM di telefon bimbit sebagai bukti.
Saya tidak teragak-agak untuk membawa semua saksi dan bukti itu kepada media asalkan nama baik saya dan keluarga dapat dibersihkan. Jika benar dia (Shahz) bercakap benar, datang bersemuka atau kita berdepan pihak media bersama.
Tambah Farah,kenyataan Shah Jaszle kononnya gadis misteri itu mendesak dan sengaja ingin memisahkannya dengan tunang adalah satu pembohongan besar. Kata Farah lagi:-
Saya tahu dia sudah bertunang tapi sejak awal dia mendekati saya ketika penggambaran drama Lembayung Kasihmu, banyak kali dia mengatakan dia tidak bahagia dengan tunangnya yang diaturkan keluarga. Malah, Shahz berjanji untuk meninggalkan tunangnya untuk bersama saya.
Itulah alasan saya berani mengambil risiko untuk bersamanya dan kami sudah menjalin hubungan lebih kurang sebulan. Selama itu juga Shahz bermalam di rumah saya dan menghabiskan masanya bersama saya termasuk meraikan sambutan Hari Ibu bersama keluarganya.
Jelas Farah, tiada siapa memerangkap mereka sebagaimana dakwaan Shah Jaszle, sebaliknya JAIS sendiri mengakui sudah memerhatikan mereka selama lebih dua minggu. Tambah Farah:-
Dia menyuruh saya datang menjemputnya pada malam kejadian untuk bermalam di rumah saya. Saya masih menyimpan mesejnya yang ingin datang ke rumah dan meminta mengambilnya kerana tiada duit mengisi minyak kereta.
Selepas mendengar kenyataan Shahz kononnya dia diperangkap dan mungkin teman serumah sengaja mengenakannya, ketiga-tiga mereka yang ada di tempat kejadian sudah pun membuat laporan polis bagi tujuan keselamatan dan kesal dengan dakwaan Shahz.
Shahz bertegas mengatakan saya kru produksi yang mengasingkan pakaian penggambarannya malam itu. Dia mengajar saya menipu dan merahsiakan hubungan kami daripada pengetahuan tunangnya dan sesiapa bertanya. Mesej itu ada pada saya. Justeru saya bukan psiko tapi sebenarnya dia yang takut dengan bayang-bayang sendiri.
Makin pening dibuatnya membaca kenyataan kedua-dua belah pihak. Tak tahu siapa benar siapa salah. Diharap kes ini akan dipercepatkan di mahkamah agar kebenaran terbukti segera. Senang sikit cerita. Tak perlu pening-pening lagi memikirkan kenyatan-kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka yang terlibat.