Pelakon Azhan Rani yang semakin dikenali setelah lakonannya dalam drama bersiri Nur, mengakui berasa lucu dengan komen netizen yang sanggup berdebat hanya kerana dia memuat naik beberapa keping foto memaparkan bulu ketiaknya di laman Instagram baru-baru ini.
Azhan yang ditemui media berkata dia tidak menyangka bahawa isu bulu ketiak boleh menjadi topik perbualan netizen mungkin kerana kaitan dengan penjagaan kebersihan diri seseorang individu.
Namun begitu, pelakon filem Bikin Filem ini menjelaskan dia memuat naik foto-foto berikut bukanlah sekadar hanya suka-suka.
“Saya sebenarnya bukan suka-suka nak tunjuk atau saja-saja bela bulu ketiak. Tapi ia bagi memenuhi tuntutan watak saya dalam telefilem Kampung Latah Kena Kuarantin untuk Astro Frist. Telefilem komedi ini diarahkan Azizi Chuck Adnan dan siapa yang pernah bekerja dengannya mesti tahu idea Azizi ada kala macam kartun sikit.”
Meskipun ‘dihentam’ agak hebat oleh warga maya, Azhan Rani tidak melatah dan mengakui sudah memahami sikap segelintir netizen di media sosial.
Tambahnya lagi, dia tidak bimbang kerana tahu peminat yang mengikutinya sejak dahulu lagi sudah pasti mengetahui karakter dirinya di media sosial.
Namun, dia redha jika ada peminat yang sudah beralih arah untuk tidak mengikutinya di media sosial gara-gara foto kontroversinya itu.
Mengakhiri bual bicara, Azhan sempat memesan kepada masyarakat di luar sana supaya terus berhati-hati dan sentiasa mengikuti SOP serta patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang dilaksanakan kini.
Sumber : Harian Metro