Pernah beberapa kali menegur pelakon baharu dari segi lakonan mereka, ada yang mula menganggap pelakon serba boleh, Nabila Huda sebenarnya cemburu ataupun dengki dengan kemunculan artis baharu yang ada antaranya lebih popular berbanding beliau.
Tidak mahu ramai terus salah faham, Nabila sebagai pelakon yang sudah mempunyai banyak pengalaman tidak mahu melihat industri lakonan tanah air terus merundum jika sesetengah penerbit lebih mengutamakan paras rupa artis dan jumlah “followers” di media sosial untuk diberikan watak utama dalam sesebuah drama mahupun filem.
Saya lihat terlalu mudah menjadi pelakon sekarang sehingga kita sanggup membelakangkan kualiti kerja. Saya tidak iri hati atau cemburu, malah tidak kisah. Tetapi, sampai bila industri mahu mempertaruhkan pelakon cantik atau kacak semata-mata. Kita kena didik penonton supaya faham apa itu bakat. Seseorang pelakon perlu ukur keupayaan diri.
Abil juga berharap pelakon baharu tidak perlu terlalu bergantung dengan pelakon senior dan berusaha untuk memperbaiki mutu lakonan mereka. Malah, mereka juga harus komited dalam kerjaya mereka dan tidak menyusahkan orang lain.
Apa arah pelakon baharu ini dalam industri? Sikap sambil lewa mereka membuatkan penggambaran jadi lambat. Ada pelakon berpengalaman terpaksa mengawal lakonan kerana tidak mahu membayangi pelakon baharu. Bagaimana kami ingin membawa sesuatu watak dengan baik jika lawan tidak memberi?
Mungkin apa yang dikatakan oleh Abil itu ada betulnya. Populariti dan sebanyak mana pun jumlah “followers” seseorang artis itu ada di media sosial, ia tidak bermakna mereka mempunyai bakat ataupun hasil kerja yang berkualiti. Apa pula pendapat anda tentang isu ini?