Pelakon Ummi Nazeera mengakui bahawa dia pernah mengalami tekanan perasaan yang teruk apabila berat badannya naik dengan mendadak sewaktu hamil anak kedua.
Ummi atau nama lengkapnya Ummi Nazeera Nur Hidayah binti Zainal Abidin berkata perubahan bentuk badannya secara mendadak itu menyebabkan dia berasa sangat tertekan sehingga mengalami kemurungan.
Pelakon Bisiki Pada Langit itu berkata sebelum mengandung berat badannya sekitar 54 kilogram (kg) sahaja. Tetapi ketika hamil, berat badan naik sehingga 78kg. Keadaan itu menyebabkan Ummi menjadi murung dan sedih.
Saya banyak menangis seorang diri dan tertanya-tanya punca badan saya mengalami perubahan begitu mendadak sehingga doktor tegur kerana berat badan saya naik secara berlebihan.
Ummi, 31, memaklumkan punca lain yang menyebabkan dia mengalami tekanan perasaan mungkin disebabkan dia mengalami pendarahan serius ketika di awal kehamilan.
Pada awal kehamilan iaitu sekitar Januari lalu, Ummi mengalami pendarahan yang menyebabkan dia tidak dapat banyak bergerak dan perlu berbaring di atas katil selama beberapa bulan sehingga kandungannya betul-betul kuat.
Suami pula ketika itu terlalu sibuk kerana bertugas sebagai petugas barisan hadapan (doktor). Keluar awal, balik lewat, jadi saya tidak ada sokongan moral ketika itu menjadikan saya berasa lebih tertekan.
Bagaimanapun, Ummi berkata dia tidak pernah terfikir untuk menyalahkan suaminya kerana faham tugasnya sebagai seorang doktor lebih-lebih lagi dalam situasi menangani penularan wabak Covid-19.
‘Follow’ Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.