Nama MK K-Clique baru-baru ini telah menjadi sebutan pengarah dan penerbit filem Marabahaya Underground, Suhaimi Selamat yang didakwa enggan mempromosikan naskah tersebut di media sosial.
Tampil menjelaskan perkara sebenar, MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan berkata ketika isu berkenaan diperkatakan ramai, dia sedang berada di Sabah untuk bercuti dan sedang meluangkan masa bersama keluarga.
Pulang ke negeri itu untuk menenangkan fikiran daripada soal kerjaya, Hairi memaklumkan bahawa dia turut memadam semua pengikut di Instagram selama seminggu tempoh bercuti.
Dia berbuat demikian kerana ingin menyendiri dan menyembuhkan diri daripada segala permasalahan yang terjadi dalam hidupnya.
Nak self-healing. Taknak tengok kehidupan orang sebab fokus betul-betul masa dengan keluarga tersayang di Sabah.
Saya dah dua tahun tak balik. Instagram saya seminggu senyap daripada sebarang perkongsian. Waktu itu juga dakwaan isu tak promosi filem berlaku.
Hairi dalam pada itu mengakui dirinya terus bekerja dan sedikit terlambat dalam urusan promosi filem Marabahaya Underground itu.
Sehubungan dengan itu, Hairi menyusun sepuluh jari dan memohon maaf di atas kesilapannya dan turut memaklumkan bahawa bukan sahaja filem tersebu malah beberapa perkara lain juga turut terlepas pandang.
Penyanyi lagu Mimpi itu khabarnya telah tampil sebagai ‘cameo’ dalam filem tersebut dan selain Hairi, Marabahaya Underground turut dibintangi pelakon lain seperti Joey Daud, Hazama, Jasmin Suraya dan ramai lagi.
Ia sudah mula ditayangkan di saluran Astro First (480) bermula 2 Disember yang lalu.