Penyanyi Zehra Zambri mencuri perhatian ramai selepas berkongsi keadaan dirinya yang kini berada dalam fasa hidup yang amat kritikal serta sangat memerlukan peluang pekerjaan.
Menerusi perkongsian di Threads, Zehra meluahkan keperluan mendesak untuk mendapatkan pekerjaan bagi menanggung kehidupan seharian anak perempuannya yang kini berusia tiga tahun.
“Saya berada di fasa yang sangat-sangat kritikal. Saya harus memulakan hidup saya dari bawah semula. Anak perlu saya dinafkahi.”
“Perkahwinan lalu telah buat saya kehilangan banyak benda. Termasuk aspek kewangan saya sendiri yang telah dicabul.”
Menurut Zehra, dia terbuka untuk menerima sebarang tawaran kerja yang bersesuaian demi meneruskan kelangsungan hidup bersama anaknya.
Alumni Gegar Vaganza 11 itu turut berkongsi pengalaman dan kemahiran yang dimiliki sepanjang penglibatannya dalam industri seni dan penyiaran.
“Saya ingin bekerja semula, jika ada sesiapa perlukan khidmat saya untuk persembahan pentas boleh je hubungi saya.”
“Terakhir saya sebagai Finalis GV11 (Gegar Vaganza 11) lalu. Dari 2005 saya telah bergiat dalam industri seni suara”
“Selain menyanyi, pengalaman saya terdahulu juga dalam bidang penyiaran. Sembilan tahun saya berkhidmat di sebuah stesen televisyen sebagai wartawan penyiaran, pengacara dan juga pembaca berita.”
“Jika ada apa-apa peluang yang bersesuaian dengan bakat dan pengalaman saya ini mohon dipanjangkan,” ujarnya.
Untuk rekod, Zehra disahkan bercerai talak satu dengan bekas suaminya, Nur Mohd Iqwan Samsudin, pada 20 Ogos lalu. Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 10 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Zahiyah Iqleela yang kini berusia tiga tahun.
Zehra sebelum ini juga pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri, namun perkahwinan tersebut hanya bertahan selama enam bulan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

