Tindakan penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun memuat naik hantaran seakan menghentam nyanyian Nabila Razali di malam Anugerah Juara Lagu (AJL35) mengundang kritikan ramai. Rata-rata menganggap kenyataan yang dibuatnya itu seolah-oleh merendahkan dan tidak profesional.
Memberi respon kepada isu tersebut, Hafiz Hamidun menerusi laporan Utusan Malaysia memohon maaf sekiranya ada yang melihat ciapan yang ditulisnya berbaur negatif. Jelasnya lagi, dia langsung tiada niat untuk merendah-rendahkan persembahan Nabila Razali.
Tiada niat untuk merendah-rendahkan Nabila dan pasukan lagu itu. Jujurnya saya adalah di antara peminat lagu Peluang Kedua.
Bagaimanapun saya meminta maaf sekiranya ada yang terkesan dengan Tweet yang dimuatnaik oleh saya.
Katanya, dia terpaksa memadam kenyataan kerana tidak senang sekiranya perkara tersebut terus diperbesarkan. Tidak sangka akan menjadi isu besar, dia menjelaskan apa yang dikongsi hanyalah sekadar pandangan peribadi sebagai penonton dan peminat karya tersebut.
Tetapi sebagai rakan artis saya tidak pernah mahu memperlekehkan mana-mana pihak.
Malah sehingga hari ini saya tidak akan terlepas untuk memberi sokongan kepada Nabila sendiri. Apa pun saya sekali lagi meminta maaf.
Melihat semangat yang ditunjukkan Nabila menyanyikan lagu itu sehingga habis, saya akui bukan mudah. Memang sesuatu yang perlu dihargai.
Mengakui menyanyi di pentas AJL bukan suatu yang mudah, Hafiz memuji semangat yang ditunjukkan Nabila. Sebagai seorang penyanyi, dia turut memahami perasaan berdebar ketika berada di sebuah pentas.