Penceraian antara Dynas Mokhtar dan suami telah berlaku kira-kira setahun yang lalu. Namun pengakuan oleh Dynas mengenai keruntuhan rumah tangganya itu hanya dilakukan baru-baru ini. Sememangnya sudah lama desas-desus mengenai penceraian ini tersebar, namun setiap kali ditanya, Dynas akan menafikan. Apabila penceraian ini disahkan, ada suara-suara yang menyatakan Dynas bersikap ‘hipokrit’ selama ini kerana menafikan perkara yang telah terjadi.
Berkata kepada Utusan Malaysia, Dynas memaklumkan yang dia mempunyai sebab tersendiri merahsiakan penceraiannya selama hampir 1 tahun. Bagi Dynas, itu adalah hak dirinya. Kata Dynas:-
Pertama sekali, saya minta maaf jika sebelum ini sering mengelakkan diri daripada media. Masa berita itu disebarkan, saya masih belum bersedia untuk menceritakan semuanya. Lagipun, saya dan bekas suami berbincang dahulu sebelum pendedahan ini dibuat. Sekarang sudah hampir setahun, saya rasa sudah bersedia. Sebab itu sekarang ini saya mengaku juga.
Susah sebenarnya untuk kita tutup mulut orang. Saya tidak kisah dan penuh bersedia jika ada lagi tohmahan dan spekulasi yang akan dilemparkan. Orang boleh cakap apa sahaja, yang penting, kehidupan saya diteruskan macam biasa. Saya ada sebab kenapa merahsiakan cerita perceraian daripada umum sebelum ini. Itu hak saya juga.
Sememangnya selaku seorang selebriti, sebarang perkembangan ingin diketahui oleh peminat. Namun sebagai seorang manusia biasa, memang selebriti mempunyai hak untuk merahsiakan perkara-perkara tertentu. Namun ada juga yang berfikiran kalau dah namanya selebriti, kenalah kongsi semua benda dengan peminat. Sukar nak cakap pendapat mana yang betul. Apa pun, yang penting Dynas dan suami masih lagi berkawan baik demi anak-anak mereka. Itu yang Abang Nara suka. Walaupun dah bercerai, kasih sayang serta tanggungjawab sebagai ayah dan ibu tak harus dilupakan. Tahniah kepada Dynas dan suami kerana memastikan kebajikan anak-anak mereka tetap terjaga. Good job!!!