Baru-baru ni, Beautifulnara ada terbaca satu confession di Reddit mengenai reseller yang dah mula menjual balik blind box Vico pada harga yang tak masuk akal. Salah satu karakter misteri dikatakan dijual sehingga ratusan ringgit!
Dari situlah kami baru mengetahui bahawa Vico rupanya dah ada blind box sendiri dan mempersoalkan kenapa koleksi plushie dari jenama minuman tempatan boleh naik harga sampai macam tu? Dan paling penting, kenapa ramai sangat yang berminat?
Blind Box Tapi ‘Ada Jiwa Lokal’
Kalau anda nak tau, Vico memperkenalkan koleksi blind box yang menampilkan empat versi karakter Vic iaitu Original, Pelukis, Graduan dan satu Misteri. Konsep blind box ni menarik, di mana anda hanya tahu dapat versi mana selepas kotak dibuka. Tapi yang menarik, setiap versi ada ‘cerita’ yang dekat dengan kehidupan rakyat Malaysia.
Bukan Fenomena Viral (Lagi), Tapi Layak Diberi Perhatian
Jujurnya, Vic belum mencetuskan fenomena besar macam salah satu karakter antarabangsa terkenal, Labubu. Tapi itu bukan masalah, sebab kadang-kadang bukan semua yang bagus perlu meletup untuk kita dihargai kan?
Apa yang berlaku sekarang lebih kepada minat organik, orang mula perasan, mula bincang, dan mula cari. Ada juga yang jual semula plushie Vic versi misteri pada harga lebih tinggi, tapi ia masih di peringkat awal.
Belum sampai tahap ‘berebut’ atau ‘beratur panjang’, tapi sudah cukup untuk cipta sedikit buzz.
Usaha Menarik Dari Jenama Tempatan
Kami puji langkah Vico cuba sesuatu yang baru, dari produk minuman ke dunia collectible. Ini satu percubaan yang berani dan secara tidak langsung menunjukkan yang jenama tempatan juga boleh tampil kreatif dan relevan.
Dengan hanya berbelanja RM25 untuk produk Vico, anda boleh menang satu kotak misteri Vic dan dalam dunia blind box, ini sangat berpatutan okay!
Adakah Vic Akan Jadi Koleksi Yang Dicari Ramai?
Mungkin belum sekarang, tapi Vic ada potensi. Kalau diberi lebih perhatian, mungkin dia boleh berkembang jadi siri berterusan atau jadi watak tetap dalam kempen Vico. Siapa tahu?
Sekurang-kurangnya, kehadiran Vic memberi nafas baru kepada pasaran blind box tempatan yang biasanya didominasi jenama luar. Dan bagi yang suka benda unik dan berjiwa lokal, Vic patut ada dalam radar anda.
Kalau anda masih belum kenal Vic, mungkin ini masa yang sesuai. Bukan sebab nak ikut trend, tapi sebab kita patut beri peluang pada sesuatu yang datang dari tempat sendiri.