Kerajaan Negeri Sarawak telah mengeluarkan surat tuntutan kepada anak syarikat Petronas, Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB), berhubung dakwaan pelanggaran atau ketidakpatuhan terhadap Seksyen 7(e) Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016.
Memetik laporan Utusan Malaysia, pelanggaran ini melibatkan operasi sebuah loji milik PCSB yang terletak di Miri Crude Oil Terminal (MCOT), Lot 915-916, Lorong 1A-1A, Desa Senadin, 98100 Miri, Sarawak.

Beri 21 hari untuk dapatkan lesen
Menurut Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, loji berkenaan didapati beroperasi tanpa permit yang sah seperti yang diwajibkan di bawah Seksyen 7(e) DGO 2016, yang merangkumi pembinaan, pengurusan dan penyelenggaraan saluran paip gas serta peralatan lain yang digunakan untuk pengagihan gas asli (NG).
Tindakan ini dijangka menambah ketegangan antara Kerajaan Negeri Sarawak dan Petronas, susulan usaha agresif Sarawak untuk menjadi agregator tunggal gas di negeri itu.
Surat bertarikh 30 April 2025 tersebut turut menetapkan tempoh 21 hari kepada Petronas Carigali untuk mendapatkan lesen berkaitan atau berdepan tindakan penalti kewangan.

gambar hiasan
Sila ambil perhatian sekiranya anda meneruskan aktiviti yang dinyatakan di atas di loji tersebut tanpa memperoleh lesen yang dikehendaki di bawah Seksyen 7(e) dalam tempoh 21 hari dari tarikh surat ini, penalti kewangan akan dikenakan ke atas anda di bawah Seksyen 21A Ordinan Pengagihan Gas 2016.
Petronas Carigali turut diminta menghubungi pegawai yang disenaraikan dalam surat berkenaan sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut.
Bagi memperkukuh kawalan ke atas sumber minyak dan gas di negeri itu, Kerajaan Sarawak menubuhkan syarikat minyaknya sendiri, Petroleum Sarawak Berhad (Petros), pada tahun 2017.
Sebagai perbandingan, Petronas merupakan syarikat milik penuh Kerajaan Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Akta Kemajuan Petroleum (PDA) sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengawal dan mengurus sumber minyak dan gas negara secara berpusat.
Namun begitu, dalam setahun kebelakangan ini, Sarawak telah mendesak agar Petronas menandatangani perjanjian yang mengiktiraf Petros sebagai agregator tunggal gas di negeri tersebut. Pertikaian semakin meruncing apabila Petros memfailkan saman terhadap Petronas berhubung bayaran bekalan gas asli, dan cubaan Petronas untuk menghentikan kes tersebut telah gagal.
Kedua-dua pihak masih berunding untuk mencapai penyelesaian, namun setakat ini tiada perkembangan positif yang dilaporkan.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.
BACA: Kebakaran Berlaku Di Saluran Paip Utama, Petronas Gas Akan Tanggung Rugi Kira-Kira RM25 Juta