Pelakon Hafidz Roshdi meluahkan perasaan rindu yang mendalam terhadap dua anaknya, Humaira dan Umar, yang kini berada di Australia bersama bekas isteri, Nurul Shuhada Mat Shukri.
Berkongsi kisahnya kepada media, Hafidz, 31, mendedahkan bahawa sudah lebih setahun dia tidak dapat menghubungi anak-anaknya, malah hanya mampu melepaskan rindu dengan menatap semula gambar serta video lama.
Sangat-sangat rindu. Boleh kata, dua hari sekali itu mesti termimpikan mereka. Termimpi berjumpa dengan mereka. Untuk ubati rasa rindu, saya cuba kuatkan dirilah. Tengok gambar-gambar dan video-video lama.
Menurut Hafidz, hubungan antara dirinya dan anak-anak menjadi semakin sukar selepas dia disekat oleh bekas isterinya di pelbagai saluran komunikasi.
Sebelum ini, ada saya berhubung dengan anak-anak melalui panggilan telefon. Tapi, sekarang ini dah tak dapatlah.
Kali terakhir, sebelum mereka pergi Australia Mei tahun lalu. Setahun dah tak dapat hubungi anak-anak.
Dalam perkembangan lain, Hafidz juga memaklumkan bahawa dia masih aktif dalam dunia seni walaupun belum menerima tawaran lakonan baharu. Buat masa ini, beliau terlibat dengan beberapa program serta siaran langsung dalam talian.
Saya baru selesai menjalani penggambaran program bual bicara. Baru-baru ini juga, saya menjadi pengacara siaran langsung di TikTok untuk jenama pakaian Tuan by Tengku Kery dan masih berjalan.
Jadi, sumber pendapatan saya adalah dari situ memandangkan belum lagi ada tawaran lakonan.
Hafidz turut menyuarakan harapan agar diberi peluang untuk kembali ke dunia lakonan.
Kepada penerbit dan pengarah di luar sana yang tahu mengenai situasi saya, berilah saya peluang untuk kembali berlakon semula.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.