Isu gaji minimum terhadap pekerja sehingga kini masih lagi menjadi perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat di mana ramai yang berpendapat bahawa masih ada pekerja yang diberi elaun atau upah yang tidak setimpal dengan pekerjaan mereka.
Meskipun ianya telah dinaikkan sehingga RM1,200 kini, kerajaan dilaporkan masih mengkaji keperluan untuk meningkatkan lagi taraf pendapatan tersebut terhadap pekerja dari semasa ke semasa.
Terbaharu, perkongsian seorang pengguna Twitter iaitu @H_Bakkaniy telah mencetuskan perdebatan orang ramai apabila individu tersebut telah memuat naik iklan jawatan kosong sebagai imam rawatib di sebuah masjid.
Apa yang menjadi perbualan hangat adalah apabila elaun yang ditawarkan tidak sepadan dengan kelayakan yang diminta.
Sudah tahun 2022, kelayakan yang diminta Masy? Allah, gaji ditawarnya Na'udzubill?h!
Bawah paras gaji minimum tu! pic.twitter.com/Rq3G2UpHkk
— Mohammad Faeez Harith (@H_Bakkaniy) January 10, 2022
Menerusi iklan tersebut, gaji yang ditawarkan hanyalah RM900 tapi kelayakan yang diperlukan untuk pemohon adalah harus memiliki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia atau kelayakan setarafnya.
Malah, hanya mereka yang Syahadah Tahfiz dari Mahad Tahfiz Al-Quran atau memiliki diploma dalam bidang Tahfiz Al-Quran, pengajian Islam layak memohon.
Ternyata, perkara tersebut ternyata telah menuai pelbagai respon yang berbeza yang rata-rata merasakan tawaran gaji yang ditawarkan mengarut dan di bawah paras minimum.
Dalam pada itu, ramai juga yang berkongsi pendapat dan pengalaman di mana hal seperti itu seolah-olah telah menjadi satu kebiasaan dalam sektor pekerjaan yang lain.
Apa pendapat anda? Wajar atau tidak jawatan tersebut dibayar sedemikian rupa?