Boleh dikatakan, bila menjelangnya bulan Ramadan, pasti orang ramai akan menyerbu Jalan Tun Abdul Rahman (TAR) bagi membeli persiapan untuk menyambut perayaan Aidilfitri.
Jalan TAR kini tidak dapat sambutan?
Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, Jalan TAR dikatakan sudah tidak mendapat sambutan seperti tahun-tahun sebelum ini dan melalui tinjauan Harian Metro, para peniaga di sana sudah ramai yang mula mengeluh.
Seorang peniaga wanita bernama Noor Saleha berkata sebelum ini, baru seminggu umat Islam menyambut bulan Ramadan, kunjungan orang di sana sudah meriah, namun pada tahun ini amat berbeza.
Sejak mula berniaga pada 3 Mac lalu, jumlah pengunjung memang sangat kurang berbanding tahun sebelum ini. Kini purata pelanggan setiap hari hanya seorang hingga dua orang dengan jualan RM100. Saya berharap hari ini jualan akan meningkat berbanding sebelum ini.
Peniaga mula rasa bimbang
Sedar mengenai kekurangan pelanggan di kedainya, Saleha mencari alternatif lain iaitu menjual di atas talian bagi menjana pendapatan tambahan kerana sedar kini ramai yang sudah beralih ke arah online shopping.
Selain Saleha, peniaga songkok bernama Rustam Munah, 63, juga merasai hal yang sama serta meluahkan rasa bimbang kerana jumlah pengunjung berkurangan di Bazar Aidilfitri tersebut.
Sejak berniaga di sini pada tahun 90-an, jumlah pengunjung pada tahun ini sangat kurang. Kebiasaannya, pada hari bekerja kita tutup 12 tengah malam namun sejak beberapa hari lalu, 10 malam kita sudah tutup kerana kurang pengunjung.
Katanya lagi, kebanyakan pengunjung yang datang ke kedainya hanya sekadar ‘mencuci mata’ tetapi dia tetap berfikiran positif dengan merasakan mungkin pengunjung mahu menunggu gaji sebelum membeli.
Tiada pengunjung sejak awal Ramadan
Dalam pada itu, peniaga kuih, Fatin Farhana Ahmad Jamili, 31, mengeluh kedainya tidak pengunjung sejak awal Ramadan minggu lalu.
Pernah satu hari saya hanya peroleh jualan RM15. Hanya semalam (kelmarin), jualan ada menunjukkan sedikit peningkatan namun masih lagi kurang berbanding sebelum ini.
Fatin turut berharap agar perkara ini hanyalah bersifat sementara dan jumlah pengunjung akan bertambah apabila tiba di minggu akhir Ramadan.