Kebiasaannya, hari pertama persekolahan akan menyaksikan para ibu bapa dan penjaga berduyun-duyun menunggu di luar kelas ataupun di luar pagar sekolah.
Tambahan pula jika ianya musim persekolahan kali pertama buat murid-murid yang baru dan tidak pernah berjauhan dengan ibu bapa masing-masing.
Namun, lain pula situasi yang terjadi di sebuah sekolah di Gua Musang apabila bukan ibu bapa yang menunggu di luar pagar sekolah, tetapi sang harimau belang.
Menurut satu perkongsian di Facebook Persatuan Haiwan Malaysia, insiden itu berlaku di perkarangan asrama Sekolah Kebangsaan Balar, Gua Musang.
Difahamkan, harimau tersebut terpaksa keluar dari habitat asalnya berikutan tempat tinggalnya itu berkemungkinan telah dihapuskan secara sepenuhnya.
Haiwan liar tidak akan keluar habitat sehingga masuk ke kawasan manusia melainkan mereka berasa terancam, kebuluran, kawasan rayau mengecil dan hilang punca kehidupan.
Ini membuktikan bahawa negara mengalami kemusnahan habitat yang serius sehingga memaksa haiwan liar keluar sarang.
Sehubungan itu, Persatuan Haiwan Malaysia menggesa pihak terbabit agar melakukan sesuatu sama ada menyelamatkan hutan yang menjadi habitat mereka selama ini atau haiwan liar yang terlibat agar tiada siapa yang menjadi mangsa korban di kemudian hari.