Kecoh di media sosial Twitter apabila sebuah video yang memaparkan seorang lelaki diasak dengan kasar oleh pengawal peribadi presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi di sebuah lif Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika sesi prosiding kes penyelewengan dana Yayasan Akal Budi, semalam.
Video tersebut yang dimuat naik wartawan Channel News Asia Melissa Goh di Twitter telah mencetuskan rasa amarah dalam kalangan netizen berikutan sikap pengawal peribadi yang melampau kerana telah mengasari orang awam.
69 year old Umno president Ahmad Zahid Hamidi has arrived at KL court complex flanked by his family members and supporters. He’ll know shortly whether he needs to enter his defence over 47 charges :- 12 CBT, 8 counts of bribery and 27 counts of money laundering. pic.twitter.com/RbiHnwYpJ1
— Melissa Goh (@MelGohCNA) January 24, 2022
Dalam rakaman tersebut, Zahid bersama beberapa pengiring dan pengawal peribadi dilihat sedang berjalan untuk menaiki lif yang berada dalam kompleks mahkamah.
Pada masa yang sama, terdapat orang awam sedang menunggu di lif yang sama namun ketika pintu lif telah dibuka, lelaki tersebut kelihatan ingin masuk sama bersama Zahid namun telah ditarik dengan kasar oleh pengawal peribadi figura politik itu.
Lelaki berbangsa India itu kelihatan terpinga-pinga dan memegang lehernya yang sakit akibat direntap kasar.
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen meluahkan rasa tidak puas hati dan menganggap tindakan pihak terbabit sebagai melampau dan tiada adab.
Dalam pada itu, ada juga netizen yang mempersoalkan pematuhan SOP apabila tiada penjarakan fizikal dilihat telah dipatuhi dalam rakaman video tersebut.