Pelakon popular, Mimi Lana, tampil memohon maaf kepada jurusolek dikenali sebagai Aizat Badul Razak selepas mengakui terlepas pandang membayar khidmat solekan sejak tahun 2019.
Menerusi satu hantaran di Threads, Mimi atau nama sebenarnya Mimi Roziana Zainal Abidin, 31, membalas satu hantaran dimuat naik Aizat yang mendedahkan terdapat seorang selebriti masih berhutang bayaran solekan berjumlah RM250.

“Nampak komen seorang artis ini pada hantaran seseorang ‘boleh la mekap i pula’. Dan, dia hutang aku duit mekap. Dulu aku bagi harga RM250 untuk artis. Lepas tu sampai ke sudah buat lupa. Nak saja balas komen dia. Bayar hutang saya boleh tak? Dah banyak kali bagi peringatan,” tulisnya.
Hantaran tersebut kemudiannya mendapat perhatian Mimi yang tampil memberi respon terbuka serta memohon maaf atas kelalaian berkenaan.
Tambah pelakon filem Pusaka itu lagi, beliau menegaskan setakat ini tidak pernah berniat untuk tidak membayar mana-mana jurusolek dan meminta mana-mana pihak yang masih mempunyai bayaran tertunggak agar menghubungi pembantu peribadinya.
“Walaupun jumlahnya kecil bagi kami tetapi besar untuk orang yang sudah bekerja. Tak sepatutnya perkara ini berlaku. Maaf sekali lagi dan tolong hubungi pembantu peribadi saya,” tulisnya.
Tindakan Mimi mengakui kesilapan secara terbuka turut mendapat pujian ramai netizen yang menyifatkan pelakon itu sebagai profesional dan bertanggungjawab.
“Dia boleh sahaja mesej secara peribadi kepada Aizat tetapi memilih untuk berdepan secara terbuka. Sangat profesional,” komen netizen.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
