Sikap tidak bertanggungjawab segelintir pengguna jalan raya terus mencetuskan kemarahan orang ramai apabila bahu Jalan Kuala Lipis–Gua Musang sekali lagi dipenuhi sampah.
Tinjauan di media sosial mendapati pelbagai jenis sisa seperti plastik makanan, botol minuman, bekas polisterin serta sampah domestik dibuang sewenang-wenangnya di tepi jalan, sekali gus mencacatkan pemandangan laluan utama yang menghubungkan Pahang dan Kelantan itu.
Keadaan tersebut bukan sahaja menimbulkan bau kurang menyenangkan, malah berpotensi mengundang kehadiran haiwan liar dan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal yang kerap menggunakan laluan berkenaan.
Menurut seorang penunggang motosikal, masalah itu bukan perkara baharu dan sering berulang setiap kali cuti panjang apabila laluan tersebut menjadi pilihan ramai pengguna dari Pantai Timur dan Pantai Barat.
Setiap kali cuti memang penuh sampah. Lepas cuti, barulah nampak kerja pembersihan dibuat. Kesedaran orang ramai masih rendah walaupun papan tanda larangan sudah ada.
Isu berkenaan turut tular di media sosial apabila ramai netizen meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir pihak yang sanggup mencemarkan alam sekitar demi keselesaan sendiri.
Kalau boleh bawa balik bekas makanan dan botol air masa datang, kenapa tak boleh bawa balik sampah sendiri? Jalan ini bukan tong sampah.
Sehubungan itu, orang ramai berharap pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan dapat meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan, selain mempergiatkan kempen kesedaran agar masalah sama tidak terus berulang dan alam sekitar dapat dipelihara bersama.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
