Jika sebelum ini penyanyi Nabila Razali dilaporkan tidak dapat membuat persembahan pada malam episod ketiga Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-35 (SAMM35) kerana masalah kesihatan, nampaknya masih ada peluang buat penyanyi itu untuk tampil pada SAMM35 nanti apabila majlis itu ditunda gara-gara penularan COVID-19.
Manakan tidak, paling kurang tempoh penundaan program tersebut adalah 14 hari kerana itu merupakan tempoh kuarantin wajib dilaksanakan semua staf dan artis yang terjejas akibat wabak itu.
Berikutan itu, ramai peminat Nabila Razali berharap penyanyi itu dapat sembuh sepenuhnya sekaligus tampil membuat persembahan lagu Peluang Kedua di pentas SAMM35 nanti.
Ketika meninjau ruangan media sosial, ramai netizen berharap penyanyi lagu hits itu sendiri yang tampil memberikan persembahan dan bukannya diwakili artis lain.
Sebelum ini, muncul desas-desus dalam kalangan netizen apabila Nabila dikatakan ingin membuat gimik semata-mata apabila dia mengumumkan tidak dapat menyanyi kerana masalah kesihatan.
Namun begitu, masih belum ada jawapan dan respon daripada pihak wakil ataupun Nabila sendiri mengenai siapakah yang bakal menggantikannya menyanyikan lagu Peluang Kedua pada malam SAMM35 itu nanti. Sama-sama kita nantikan.
Sumber : Kosmo Online