Sambutan Hangat Di Langkawi, Perkhidmatan Feri Ditambah

Travel

Sambutan Hangat Di Langkawi, Perkhidmatan Feri Ditambah

Sejak kebenaran merentas negeri diumumkan oleh kerajaan tempoh hari, masyarakat dalam negara dilihat tidak melepaskan peluang untuk pulang ke kampung serta bercuti ke luar negeri. Antara lokasi tumpuan untuk bercuti dan melancong termasuklah di Pulau Langkawi.

Umum mengetahui, individu yang sudah lengkap dua dos suntikan vaksin telah dibenarkan untuk pergi ke Langkawi sebelum ini dengan syarat mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sempena Gelombang Pelancongan Projek Rintis Pulau Langkawi.

Advertisement

3 years ago

10 Pelancong Ditahan Polis Dalam Bilik Hotel Di Langkawi

Terbaharu, Kementerian Kesihatan (KKM) telah memaklumkan bahawa keperluan untuk membuat ujian pengesanan wabak Covid-19 atau swab test bagi pelancong ke Langkawi akan dihentikan.

Namun, sebagai langkah berjaga-jaga, pelancong digalakkan untuk melakukan ujian kendiri sebelum memulakan perjalanan ke pulau peranginan itu bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada pelancong lain.

Syarikat Ferrylines Ventures Sdn Bhd menyediakan perkhidmatan lima trip perjalanan feri ke Langkawi bermula Sabtu ini.

Menurut laporan Harian Metro, pertambahan perkhidmatan trip perjalanan feri ke Langkawi tersebut adalah disebabkan sambutan yang menggalakkan daripada pelancong. Sekarang ini, makin ramai pelancong dapat dilihat datang ke Langkawi untuk bercuti dan melancong.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, perkhidmatan trip perjalanan feri ke Langkawi tersebut dibahagikan kepada tiga trip feri dari Terminal Feri Kuala Perlis, manakala dua trip lagi dari Terminal Feri Kuala Kedah.

Tambah beliau lagi, hanya dua feri disediakan untuk perjalanan dari Kuala Perlis dan satu trip di Kuala Kedah sebelum ini tetapi ia ditambah disebabkan permintaan penumpang. Pihaknya menjangkakan 3,000 pelancong akan menggunakan perkhidmatan feri penumpang ke pulau itu Sabtu ini.

“Kita dapati penumpang sudah mula membuat tempahan tiket feri ke Langkawi berikutan kelonggaran merentas negeri yang diumumkan kerajaan, baru-baru ini. Kita jangkakan penambahan pelancong akan terus berlaku dan akan merancakkan kembali sektor pelancongan ke Pulau Langkawi,” kata Kapten Baharin Baharom.

Bagaimanapun, prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi oleh penumpang dengan wajib memakai pelitup muka serta mematuhi penjarakan fizikal ketika berada di terminal.

Feri Langkawi

Perkhidmatan feri ke Langkawi – Sumber Ferrylines Ventures Sdn Bhd

Selain itu, pihaknya juga akan memastikan semua pelancong yang hendak mengunjungi Langkawi perlu lengkap dua dos suntikan vaksin dan lengkap tempoh matang selepas menerima suntikan dos kedua.

Sekiranya ada individu yang tidak sihat dan mempunyai gejala Covid-19, pihaknya menasihatkan untuk tangguh dulu perjalanan dan menjalani ujian pengesanan Covid-19 sama ada ujian saringan RT-PCR atau RTK-Antigen terlebih dahulu.

Orang ramai boleh mendapatkan tiket secara tempahan melalui dalam talian atau ke kaunter jualan tiket feri di dua terminal berkenaan. Bagi anda yang ada perancangan untuk ke Langkawi, tunggu apa lagi, cepat-cepat tempah tiket ya.

Pendapat anda? Kongsi bersama kami di Facebook dan Telegram AmazingNara

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...