Pasukan remaja wanita Malaysia akur apabila tidak melepasi peringkat kumpulan selepas berusaha memberikan saingan terhadap pihak lawan.
Nur Azwa Qariesya Mohammad Noor Aizuddin dan Rachael Goh tidak dapat mengutip mata di Terbuka Pingtan AVC di China selepas tewas dengan pasukan lawan dari China 0-2 dan juga Jepun 0-2.
Foto dikongsikan di Facebook Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) meraih perhatian dan saiz kecil atlet Malaysia menjadi pertikaian kerana perbezaan yang ketara.
Menerusi foto dikongsikan di Facebook itu, jelas kelihatan saiz badan atlet luar negara jauh lebih sasa dan tinggi berbanding atlet Malaysia.
Sesetengah netizen berpendapat saiz tubuh badan dua atlet remaja terbabit tidak sesuai untuk sukan bola tampar pantai yang memerlukan ketahanan dan ketangkasan yang kuat.
Bagaimanapun, ketua jurulatih pasukan remaja wanita Malaysia, Bun Lai Ken tetap melahirkan rasa kagum terhadap semangat juang dan kesungguhan ditunjukkan anak buahnya dalam kejohanan tersebut.
Walaupun mereka beraksi dalam kategori terbuka dan menentang pemain bertaraf Olimpik, mereka berjaya menamatkan permainan dengan baik. Qariesya, walaupun baru berusia 16 tahun dan bermain dalam kategori bawah 17 tahun tetapi menunjukkan pencapaian membanggakan.
Katanya, dua remaja terbabit dihantar bermain di Terbuka China hanya untuk mengumpul mata agar mereka layak ke Kejohanan Kelayakan Dunia Zon Asia bawah 18 dan bawah 21 tahun serta Youth Olympic Game 2026.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.