Lima sekeluarga, termasuk suami isteri, bapa mentua, dan dua anak mereka, ditemui mati dan dikebumikan di belakang rumah mereka di Kelurahan Paoman, Daerah Indramayu, Jawa Barat, pada Isnin lalu.
Mangsa dikenali sebagai H Sahroni, 75; Budi, 45; Euis, 40; serta dua lagi yang dikenali dengan pangkal nama, R, 6, dan B, 3.
Menurut laporan Kompas.Com, rumah dua tingkat tersebut kelihatan terbiar dengan keadaan yang berdebu. Bahagian bawah rumah dicat dengan warna merah jambu, manakala tingkat atas berwarna krim.
Di hadapan rumah tersebut, semak-samun yang tidak terurus menambah kesan seperti rumah kosong. Terdapat juga sebuah bangunan yang dipercayai sebagai gudang di sebelah rumah itu.
Rumah itu dipercayai menjadi tempat kelima-lima mayat itu ditanam, dengan kesemua mayat dikebumikan dalam lubang yang sama, membentuk sebuah busut tanah. Sejak berita itu tular, penduduk sekitar terus datang ke lokasi rumah untuk mengetahui lebih lanjut.
Menurut jiran mangsa, Sukarta, 50, kesemua mangsa adalah H Sahroni, anaknya Budi, isteri Budi, Euis, dan kedua-dua anak pasangan itu, R dan B. Isteri Sahroni dilaporkan sudah lama meninggal dunia.
Sukarta mula curiga apabila terhidu bau busuk pada Ahad, tetapi menganggap ia hanya bangkai tikus. Namun, bau semakin kuat pada Isnin, dan setelah memecahkan pintu rumah, ahli keluarga menemui mayat kelima-lima mangsa.