Pelakon dan pengarah, Zizan Nin, meluahkan rasa kesal apabila penampilannya dalam sebuah program audio siar dijadikan bahan persendaan sehingga mencetuskan pelbagai komen memperlekehkan imejnya di media sosial.
Menerusi satu hantaran di platform Threads, Zizan menyatakan rasa terkilan apabila fokus perbincangan netizen lebih tertumpu kepada penampilan fizikal berbanding perkongsian ilmu yang disampaikan dalam program berkenaan.
“Ramai yang mengutuk dan memperlekehkan imej saya, bukannya memberi perhatian kepada info yang dikongsikan dalam podcast itu.”
“Respon saya ringkas sahaa, I age gracefully. Sejajar dengan usia, kita menua, bukannya semakin muda. Semoga terus sihat, dipanjangkan usia dan menjadi warganegara yang berguna,” tulisnya.
Sementara itu, ketika dihubungi BH Online, pelakon drama Rafflesia 2 itu berkata, dia selesa dengan proses penuaan semula jadi dan tidak merasakan keperluan untuk mengubah penampilannya.
Menurut Zizan, pada usia 50-an, penampilannya hari ini adalah cerminan perjalanan hidup dan pengalaman yang telah dilalui.

“Saya dah berusia 50-an. Bagi saya, penampilan saya sekarang seiring dengan usia. Saya tak ada keinginan untuk ‘repair’ diri dengan rawatan botoks atau pembedahan plastik.”
“Dipanjangkan usia dan kekal sihat pun saya sudah sangat bersyukur,” katanya.
Zizan turut mengakui kemungkinan individu yang meninggalkan komen memperlekehkan penampilannya mempunyai banyak masa terluang dan seronok melontarkan pandangan secara berkumpulan di media sosial.
“Mungkin mereka ada banyak masa terluang dan seronok memberi pendapat secara berjemaah, walaupun komen itu tidak wajar,” ujarnya menerusi pesanan WhatsApp.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
