Pelakon dan juga pelawak, Ebby Yus memaklumkan bahawa rumahnya yang terletak di Kuala Langat, Selangor telah musnah dihanyutkan arus deras dalam bencana banjir yang berlaku hujung minggu lalu.
Reda dengan ketentuan takdir, Ebby berkata bahawa rumahnya itu sedang dalam pembinaan dan tinggal 10% untuk siap sepenuhnya.
Jelas Ebby, rumah tersebut adalah rumah impiannya sejak 30 tahun berkecimpung dalam dunia seni dan dibina hasil titik peluh sepanjang bergelar pelakon.
Rumah itu dibina menggunakan separuh batu dan separuh kayu. Inilah rumah impian saya sejak lebih 30 tahun berkecimpung dalam dunia seni. Tapi tak apalah, saya reda.
Kalau nak cerita kenangan, setiap kali dapat bayaran berlakon saya simpan untuk rumah itu. Kali terakhir selepas dapat bayaran daripada penerbit sitkom JKK, saya selesaikan baki bayaran projek rumah itu.
Malah, Ebby juga sempat melawat rumahnya itu bersama pembantu peribadi satu jam sebelum kawasan penempatan itu musnah dilanda banjir.
Dia dalam pada itu berterima kasih kepada mereka yang tampil bertanya khabar dan mengambil berat di atas situasinya kini.
Bencana alam itu telah mengakibatkan Ebby kerugian hampir RM200,000 dan dia kini menetap di rumah sewanya yang terletak di Kampung Baru.