Mesti anda semua masih ingat dengan pelakon baru yang seiras Nora Danish, Nur Ruhainies yang baru-baru ini bergandingan dengan Fattah Amin dalam drama slot Akasia TV3, Hello Mr. Perfect. Ruhainies bercerita kepada Berita Harian yang dia terkilan dengan tindakan seorang pelakon seangkatan yang terus bertindak seolah-olah tidak puas hati dengan kehadirannya dalam industri seni.
Kemenangan Ruhainies dalam satu majlis anugerah baru-baru ini turut dipertikaikan oleh pelakon tersebut. Ruhaines mengatakan dia tidak faham mengapa pelakon itu bersikap begitu.
Saya sendiri tidak tahu apa masalah dia dengan saya? Saya tidak pernah berminat untuk ambil tahu mengenai dirinya, apatah lagi berdengki.
Paling pelik mengapa dia perlu menafikan bakat dan lakonan saya, sedangkan dirinya juga mendapat tawaran tidak kurang hebat serta mukanya sering menghiasi kaca televisyen.
Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 24, memberitahu namanya digugurkan daripada sebuah filem hanya kerana pelakon terbabit, namun dia menerimanya dan menganggap ia bukan bukan rezeki walaupun masih rasa terkilan. Malah, artis itu turut mempertikaikan bakat lakonan Ruhainies.
Saya masih ingat dia sendiri pernah datang kepada saya dan mempersoalkan, kenapa saya dapat watak heroin sedangkan saya masih baharu berbanding dirinya yang sudah lama?
Semua ini adalah rezeki dan takkan saya perlu tolak tawaran hanya kerana saya baharu? Apabila ditawarkan, saya yakin pengarah tahu saya mampu melakukannya.
Minggu lepas, kami berkesempatan menonton lakonan Ruhainies dalam slot Cerekarama berjudul Karlisa. Nampaknya ada peningkatan dalam mutu lakonannya berbanding sebelum ini. Mungkin apa yang diperlukan oleh Ruhainies untuk membuktikan kemampuan lakonannya ialah masa. Mari kita bersama beri Ruhainies peluang itu.