Tidak dinafikan, ramai yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana tidak boleh keluar bekerja seperti biasa untuk mencari pendapatan bagi menampung kehidupan keluarga.
Terkesan melihat ramai yang hidup susah, pelakon Ruhainies turut tampil menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Membantu dengan seikhlas hati, dia sanggup mengeluarkan duit simpanannya sendiri untuk memberi sumbangan kepada saudara-mara dan peminatnya yang menghadapi kesusahan terkesan dengan penularan wabak COVID-19. Membantu mereka yang tidak berkemampuan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Saya sebenarnya tak mahu bercerita mengenai bantuan yang diberi sebab takut orang salah anggap dan fikir kita hanya nak menunjuk-nunjuk, jadi saya rasa lebih baik bagi secara diam-diam.
Awalnya saya terima banyak Whatsapp dari kawan-kawan dan peminat di Instagram yang bercerita mengenai kesempitan hidup mereka sepanjang PKP ini, bila saya semak memang mereka memerlukan.
Saya dahulukan orang yang rapat seperti keluarga, adik beradik, saudara-mara dan peminat yang sentiasa menyokong saya sejak dahulu. Tak mahulah kita sibuk bantu orang jauh, rupanya orang yang dekat dengan kita masih belum dibantu.
Dalam pada itu, Ruhainies berkata dia mempunyai keinginan untuk turun padang memberikan bantuan kepada masyarakat dan peminat yang memerlukan. Namun, dia terpaksa melupakan hasrat itu kerana enggan mengambil risiko membabitkan kesihatan ibu bapanya yang ada di rumah.
Sebenarnya saya nak sangat turun padang hantar bantuan kepada peminat yang memerlukan tapi memandang risiko yang ada, jadi saya memilih untuk buat pindahan (transfer) wang sahaja.
Sambil duduk rumah pun saya boleh bantu, antaranya buat review perniagaan peminat di Instagram secara percuma, sekurang-kurangnya dapat membantu menjana pendapatan mereka diwaktu sukar begini.
Betapa murahnya hati Ruhainies yang memberikan sumbangan peribadi kepada mereka yang memerlukan. Semoga dimurahkan rezeki dan dipermudahkan urusan.