Siapa yang tidak kenal dengan jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri? Seorang yang gemar berkongsi semua perkara di media sosial dan tidak pernah lekang dengan kontroversi.
Baru-baru ini, beliau dikecam teruk selepas memuat naik video merotan anak perempuannya, Qadejah El Zahra berusia 9 tahun kerana membuka tudung di hadapan lelaki yang tidak dikenali.
Tidak dinafikan, perkara itu mencetuskan perdebatan dikalangan netizen sehingga mendapat perhatian sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang telah membuat laporan polis terhadap Aliff atas dakwaan penderaan fizikal dan memalukan anaknya itu di media sosial.
Laporan itu dibuat pada hari Selasa lalu oleh Protect and Save The Children (P.S The Children), ahli Gabungan Hak Kanak-Kanak Malaysia (CRCM), di ibu pejabat polis daerah Petaling Jaya. Mereka amat terkesan dengan tindakan Aliff yang diklasifikasikan sebagai penderaan fizikal kanak-kanak.
Dia secara umum memalukan anaknya dengan rakaman video menyapu ubat di belakang badan anaknya yang ditonton kira-kira 1.3 juta pengikutnya. Perbuatan merotan anak perempuannya merupakan penderaan fizikal dan satu kesalahan di bawah seksyen 31 Akta Kanak-Kanak dan juga di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga.
CRCM pada masa yang sama turut menggesa pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan PDRM mengambil tindakan segera terhadap kejadian ini.