Lumrah apabila memulakan perniagaan, tak semestinya orang di sekeliling akan bertepuk tangan dan bangga dengan pencapaian tersebut. Mungkin juga akan ada yang cuba menabur pasir dalam periuk nasi kerana hasad dengki.
Begitu juga yang dialami oleh Datuk Rosyam Nor apabila ada khabar angin berterbangan di serata media sosial yang mengatakan bahawa pelanggan yang mengunjungi pasar raya ‘ST Rosyam Mart’ cawangan Setiawangsa telah disahkan positif COVID-19.
Daripada tangkapan skrin yang tersebar itu, individu tersebut menyatakan bahawa kawan adiknya disahkan positif virus itu selepas membeli barangan di pasar raya milik pelakon popular tersebut.
“Ini kan bulan Ramadan, kenapa nak buat fitnah macam ni. Kenapa nak aibkan orang?”
Bagi melegakan kerisauan pelanggan setia di pasar raya tersebut, Rosyam Nor menafikan dakwaan tidak berasas itu. Tegasnya, sekiranya benar ada pengunjung yang positif COVID-19, sudah pasti pihak kesihatan telah menutup pintu kedainya.
Rosyam Nor berterusan mempersoalkan tujuan sebenar individu yang menyebarkan fitnah tersebut.
“Saya tak faham orang yang fitnah ni. Apa yang kau dapat sebenarnya?”
Mengakhiri video tersebut, pelakon lelaki itu meminta pelaku tersebut supaya beringat memandangkan kita sudah pun berada di penghujung Ramadan.
Macam mana boleh sebarkan fitnah tanpa rasa bersalah langsung?