Pelakon dan penerbit terkenal, Datuk Rosyam Nor mengakui bukan mudah bergelar juri untuk program popular Maharaja Lawak Mega 2021 (MLM2021).
Menurut Rosyam, dia perlu mengetepikan kawan-kawan serta menolak sikap pilih kasih dalam tugasnya kerana berpegang kepada prinsip amanah.
Saya juga tidak kisah apa orang luar nak kata, asalkan saya harus bertanggungjawab, jujur, dan ikhlas memberi teguran dan markah.
Rosyam turut memberitahu yang dia pastinya tidak mampu untuk membuat persembahan sebaik peserta-peserta yang bertanding jika dia berada di tempat mereka.
Perkara tersebut dikongsikan Rosyam menerusi sebuah hantaran di laman Instagram miliknya untuk tatapan peminat serta pengikutnya di media sosial tersebut.
Tambah Rosyam, MLM2021 minggu ini adalah pentas akhir dan tiada sesiapa boleh meneka kumpulan peserta mana yang bakal bergelar juara kerana setiap minggu kumpulan yang menonjol tidak boleh diduga.
Selain itu, Rosyam turut memaklumkan yang perkara tersebut terjadi apabila setiap juri tidak memihak kepada sesiapa sekaligus mengucapkan selamat berjaya kepada semua kumpulan peserta yang bertanding.
Sekadar info, pertandingan akhir MLM2021 pada Jumaat ini menyaksikan persaingan lima kumpulan iaitu Boro, Bahye, Puteh, Tobat dan Tiro untuk merebut gelaran juara serta bakal memenangi hadiah utama berupa wang tunai, RM500,000.