Sedia maklum, sistem penghadaman bayi yang baru saja dilahirkan belum masih kuat untuk diberikan makanan biasa dan selalunya, ibu-ibu akan mula memberi makanan selepas umur mereka cecah 6 bulan.
Bagaimanapun, masih ada lagi golongan ibu bapa yang tidak tahu menahu berkenaan hal ini hingga terlepas pandang memberi bayi mereka yang baru saja dilahirkan makanan.
Seperti perkongsiaan satu video di TikTok baru-baru ini, terdapat seorang wanita telah menyuapkan anaknya yang masih kecil dengan bubur segera.
Kelihatan bayi tersebut di dalam posisi baring dan hanya menerima saja suapan bubur yang diberikan oleh ibunya serta disisinya juga jelas terlihat ada mangkuk berisi bancuhan makanan.
Namun, hal yang membuatkan ramai ‘naik darah’ melihat video berkenaan kerana bayi tersebut difahamkan baru saja dilahirkan beberapa jam yang lepas dan ibunya merasakan anak sedang lapar ketika itu, jadi disuapkan bubur berkenaan.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata warganet memerli wanita yang kononnya memahami anak yang baru lahir itu, sedangkan apa yang yang dilakukan itu sama sekali tidak betul.
Dalam pada masa yang sama, netizen turut bersimpati ke atas bayi terbabit dan berharap tiada apa-apa yang berlaku ke atas sistem penghadamannya.