Agak terkejut Abang Nara membaca berita ini. Mana tidaknya, vokalis kumpulan Hyper Act iaitu Ronnie telah pun disingkirkan. Sebelum ini lagu-lagu kumpulan Hyper Act dendangan Ronnie seperti Hanya Aku sememangnya amat popular. Kepopularitian kumpulan ini semakin meningkat selepas bergelar naib juara AJL28, sekaligus menyebabkan semakin banyak tawaran menyanyi diperolehi, sama ada secara berkumpulan atau solo.
Menurut Harian Metro, keputusan menyingkirkan Ronnie ini diambil kerana anggota lain tidak berpuas hati apabila Ronnie tidak pernah memberikan bayaran 30 peratus kepada syarikat mereka Hype Beat bagi setiap undangan persembahan solo penyanyi itu. Ronnie melahirkan rasa redha atas keputusan ini. Kata Ronnie:-
Mungkin sudah tiada rezeki kami untuk bekerjasama. Sebelum ini pun saya sudah dengar cerita juga (konflik dalaman), jadi apabila mereka sudah putuskan begitu saya terima sajalah.
Penyingkiran tersebut telah diumumkan oleh Hyper Act menerusi akaun Instagram mereka. Agak sedih apabila gabungan yang terbukti berkesan ini terpaksa berakhir dengan perpisahan. Namun inilah adat dunia hiburan. Sama-sama kita doakan yang terbaik buat Ronnie dan Hyper Act.