Kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah baharu untuk mengelakkan penyalahgunaan subsidi petrol RON95 di bawah program BUDI95, lapor Malaysia Gazette.
Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, antara mekanisme kawalan ialah menghadkan penggunaan subsidi supaya seseorang tidak boleh mengisi minyak lebih daripada sekali sehari. Katanya, butiran lanjut akan diumumkan antara 27 hingga 30 September ini bagi memastikan bantuan hanya sampai kepada golongan yang layak, sekali gus mengelak penyelewengan.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Jelajah Mega e-Invois 2025 (Siri 2) Peringkat Nasional di Menara HASiL. Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying serta Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin.
Tambah Amir Hamzah, kerajaan turut memberi kelonggaran kepada pemandu e-hailing dan p-hailing untuk memohon kuota tambahan BUDI95, bergantung kepada keperluan sebenar. Bagaimanapun, permohonan itu mesti disahkan oleh syarikat masing-masing. Jelasnya,
Melalui sistem, kita boleh kesan rekod penggunaan harian dan bulanan. Dengan sokongan syarikat e-hailing, kita boleh pastikan permohonan kuota tambahan adalah untuk tujuan kerja sebenar.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 diturunkan kepada RM1.99 seliter bermula 30 September 2025 untuk rakyat tempatan tanpa mengira pendapatan. Setiap warganegara berusia 16 tahun ke atas yang mempunyai lesen memandu layak menikmati 300 liter sebulan, manakala pemandu e-hailing dikecualikan daripada had tersebut.
Bagi bukan warganegara, harga RON95 ditetapkan pada RM2.60 seliter bermula tarikh sama.