RM50 Dari Orang Kaya Mungkin Rendah Nilainya Berbanding 5 Sen Dari Orang Yang Susah

Trending

RM50 Dari Orang Kaya Mungkin Rendah Nilainya Berbanding 5 Sen Dari Orang Yang Susah

Waktu bersekolah rendah, memang jadi satu kemestian untuk pusing-pusing kampung beraya. Dari satu rumah ke rumah yang lain. Berhari-hari jugalah berjalan dengan kawan-kawan.

Tak tahulah apa yang seronok sangat dulu. Mungkin sebab dapat duit raya. Atau mungkin juga sebab dapat berjalan dengan kawan-kawan.

Advertisement

Banyak juga kenangan yang menarik. Dikejar anjing. Dikejar angsa. Pecahkan gelas di rumah orang. Paling lejen sekali termuntah sebab banyak sangat minum sirap.

Tapi dalam banyak-banyak pengalaman, ada satu yang amat menginsafkan. Saya beraya di sebuah rumah di kampung.

Rumah itu kecil saja. Dindingnya dibuat dari kayu. Ada tangga sedikit di hadapan rumah. Atapnya pula dari zink yang sudah berkarat.

Kami kenal tuan rumahnya. Tapi waktu kecil, mana pernah ambil pusing dia kaya atau tidak. Bagi kami, asal rumah itu bertuan, pasti kami masuk.

Kami dijemput masuk. Duduklah kami di ruang tamu. Kuihnya ala kadar, dihidang atas beberapa buah piring. Dihidangkan air sirap kepada kami.

Mata saya melilau di sekeliling rumah. Nampak sinar matahari tembus dari lubang-lubang di atap zink.

Dinding di dalam rumah pula tidak bercat. Ia hanya ditampal dengan kertas-kertas berwarna yang nampak seragam.

Puas saya tenung. Macam pernah nampak kertas tersebut. Rupanya ia adalah kertas sampul balutan sabun buku basuh baju.

Saya rasa, itu mungkin kali pertama saya sedar tentang kesusahan dan kemiskinan.

Sebelum itu hanya dengar-dengar saja cerita dari guru dan buku tentang orang susah. Makannya ala kadar. Rumahnya asal jadi tempat berlindung. Rupanya ada di sekitar kejiranan saya.

Setelah minum dan menjamah sedikit kuih, kami minta diri. Saya bersalam dan ingin terus keluar. Takut pula tuan rumah sangka dan rasa terpaksa memberi duit raya.

Waktu bersalaman rupanya dia hukurkan sekali sampul berisi duit raya. Saya cuba menolak.

“Tak apa, pakcik nak sedekah”

Saya ucap terima kasih dan masukkan sampul ke dalam poket. Kawan-kawan juga begitu. Kami pun pulang.

Tiba di rumah, saya buka sampul yang diberi. Ada beberapa syiling kecil berwarna gangsa. 5 keping semuanya. Jumlahnya adalah 5 sen.

Kalau tak silap, pada waktu itu, sudah tiada apa yang boleh dibeli dengan 5 sen. Mungkin sebiji gula-gula yang kecil. Mungkin.

Itulah duit raya paling sedikit yang saya pernah terima. Namun 5 sen itulah yang ajar saya tentang erti keikhlasan.

Erti bersedekah. 50 ringgit dari seorang kaya mungkin rendah nilainya di sisi tuhan berbanding 5 sen dari seorang yang susah.

Amat malanglah kita yang dewasa ini jika kita menilai saudara atau rakan dengan nilai duit raya yang diberi kepada anak-anak kita.

Kredit : Fahmi Hassan

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...