Pengukuhan nilai ringgit yang kini mencecah RM1 bersamaan 8.01 baht Thailand dilaporkan mencetuskan fenomena luar biasa apabila rakyat Malaysia sanggup beratur panjang di pintu sempadan negara semata-mata untuk memasuki Thailand bagi tujuan melancong dan membeli-belah.
Tinjauan di media sosial mendapati sejak Sabtu lalu, suasana di pintu sempadan utama seperti Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam dilaporkan sesak teruk dengan kenderaan persendirian, bas pelancong serta motosikal. Ada pengunjung yang terpaksa menunggu berjam-jam, namun tetap sanggup berbuat demikian demi menikmati kelebihan kuasa beli ringgit yang semakin mengukuh.
Ramai mengakui peluang seperti ini jarang berlaku selepas sekian lama ringgit berada dalam keadaan lemah. Dengan kadar tukaran yang lebih menguntungkan, perbelanjaan makanan, penginapan, urutan tradisional serta barangan keperluan harian di Thailand kini dirasakan jauh lebih murah dan berbaloi.
“Sekarang tukar RM100 pun dah rasa macam orang kaya. Makan sedap, shopping puas hati,” tulis seorang pengguna media sosial.
Fenomena ini turut menghangatkan sektor pelancongan rentas sempadan apabila tempahan hotel, homestay dan kenderaan sewa di selatan Thailand dilaporkan meningkat secara mendadak. Pada masa sama, peniaga tempatan di kawasan sempadan tidak melepaskan peluang meraih keuntungan daripada aliran pengunjung yang semakin ramai.
Di media sosial, situasi tersebut pantas tular menerusi pelbagai video dan gambar kesesakan, disertai komen netizen yang menyifatkan ringgit kini kembali ‘bernyawa’ dan menjadikan pasport rakyat Malaysia kembali sibuk.
Dengan nilai ringgit yang semakin kukuh, Thailand kini bukan sekadar destinasi percutian murah, malah dilihat sebagai simbol kebangkitan semula keyakinan rakyat terhadap kekuatan mata wang Malaysia.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
