Memendam hasrat sejak Januari lalu, pelakon Riz Amin nekad melakukan rawatan menanam semula rambut selepas sambutan Syawal baru-baru ini.
Kredit – Gempak
Menurutnya, beliau melakukan rawatan itu di salah sebuah klinik popular di ibu kota. Tambahnya lagi, niatnya untuk melakukan rawatn berkenaan terhalang apabila beliau terpaksa menjalani beberapa penggambaran dan seterusnya menempuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tambah Riz, tujuannya melakukan rawatan ini kerana dirinya berdepan masalah keguguran rambut terutama di bahagian hadapan kepala.
“Banyak produk yang saya telah cuba tapi ia hanya menguatkan akar rambut yang sedia ada bukannya mampu menumbuhkan semula kawasan rambut yang sudah botak.”
Ujar Riz lagi, sebanyak 4,083 helai rambut diambil dari bahagian belakang kepalanya ditanam semula di bahagian hadapan.
“Setiap helai berharga RM6 dan bagi saya pelaburan ini berbaloi untuk kepuasan diri saya dan mendapatkan semula keyakinan untuk berlakon.
Mengharapkan hasil yang memberangsangkan, Riz menyatakan tempoh penumbuhan semla rambut baharunya itu mengambil masa empat hingga tujuh bulan.
Terdahulu, kecoh di laman sosial apabila pelakon Zoey Rahman melakukan rawatan yang sama sehingga wujud segelintir netizen yang mempersoalkan tindakannya melakukan rawatan tersebut tempoh hari.
Sumber: Gempak