Rita Rudaini masih lagi dicerca dan dihimpit pelbagai kontroversi atas beberapa kes yang masih belum selesai meskipun sudah bercerai dengan pemain bolasepak Aidil Zafuan hampir dua tahun lamanya.
Tempoh empat tahun yang diharungi oleh Rita untuk naik turun mahkamah tidak mematahkan semangat beliau untuk memperjuangkan hak sebagai seorang ibu dan wanita dan menganggap pengorbanan hari ini adalah untuk kemudahan hidup anak-anak tercinta pada masa depan.
Tipulah kalau saya kata saya tak penat, tapi apabila melihat anak-anak, semangat saya bertambah kuat. Malah kini saya bekerja bukan untuk diri sendiri lagi, tetapi untuk anak-anak. Saya sedar sejak mula saya naik turun mahkamah, ada yang memperlekehkan usaha saya.
Mereka menganggap saya tidak ‘move on’, mata duitan dan sebagainya. Tetapi apa yang saya lakukan sebenarnya adalah hak untuk anak-anak. Bahkan ia juga adalah hak saya sebagai wanita. Di mahkamah, sebagai wanita, ada banyak hak yang boleh kita perjuangkan .
Kalau menang, dapat duit, itu mahkamah yang putuskan.
Rita yang kini masih mempunyai dua kes yang sedang dibicarakan termasuk kes mutaah memberitahu apabila berada di mahkamah beliau menyedari ada banyak kes yang lebih rumit dihadapi oleh wanita lain dan ia sedikit sebanyak memberikan kekuatan untuk terus berjuang.
Ibu kepada dua orang cahaya mata ini tidak pernah berniat untuk mempengaruhi atau mengajak wanita lain untuk bercerai mahupun bergaduh, tetapi beliau hanya ingin memperlihatkan contoh agar tiada wanita yang putus asa dan hak mereka ditindas.
Saya bukanlah nak ajak wanita lain untuk bercerai atau pun bergaduh dengan pasangan masing-masing di mahkamah. Tetapi saya rasa lega apabila ada yang memahami dan menyokong tindakan saya dalam memperjuangkan hak kami sebagai wanita.
Bila berlakunya perceraian terdapat beberapa wanita yang tidak tahu atau tidak berani memperjuangkan haknya dalam sesuatu kes. Ada yang ditindas dan harus melakukan 2 hingga 3 pekerjaan untuk menampung anak-anak kerana bekas suami tidak menunaikan tanggungjawab. Mungkin ramai yang tidak suka dengan cara Rita Rudaini tetapi beliau memang banyak berkorban untuk anak-anaknya.