Risiko Penularan Virus Zika Ke Malaysia, KKM Keluarkan Amaran

Trending

Risiko Penularan Virus Zika Ke Malaysia, KKM Keluarkan Amaran

zika

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan akhbar hari ini telah memberi amaran awal tentang risiko penyebaran Virus Zika ke Malaysia.

Advertisement


Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan(Kesihatan Awam), Dato Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata, berdasarkan laporan media antarabangsa, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. Margaret Chan telah mengeluarkan amaran bahawa jangkitan virus Zika telah merebak dengan begitu pantas sekali di benua Amerika.

Ini adalah kerana Kementerian berpandangan risiko bagi penularan jangkitan ini ke Malaysia adalah tinggi di atas sebab-sebab berikut:-

1. Malaysia mempunyai nyamuk pembawa jangkitan ini iaitu nyamuk Aedes.

2. Densiti nyamuk Aedes di negara ini adalah sangat tinggi. Ini berdasarkan kepada hasil pemeriksaan premis-premis di seluruh negara serta hakikat bahawa kita juga dibebani dengan masalah denggi yang disebarkan oleh nyamuk yang sama.

3. Penyakit ini belum terdapat di Malaysia dan oleh itu rakyat Malaysia amnya tidak mempunyai imuniti terhadap penyakit ini. Oleh itu, jika virus ini dibawa masuk oleh rakyat Malaysia yang dijangkiti atau pelancong luar ke Malaysia, ia boleh merebak dengan pantas.

4. Seperti denggi, tiada vaksin dan ubat khusus untuk membunuh virus ini. Oleh itu, orang yang dijangkiti akan menjadi sumber jangkitan kepada orang lain jika digigit oleh nyamuk Aedes.

5. Terdapat laporan menyatakan sebahagian besar (terdapat anggaran mengatakan 80%) tidak menunjukkan gejala dijangkiti, yakni mereka boleh menjadi “pembawa yang sihat” dan menyebarkan virus ini tanpa disedar

3

 

Walaupun penyakit ini hanya menyebabkan demam yang ringan serta bintik-bintik (rashes) di badan, sakit sendi dan tidak menyebabkan kematian, namun Kementerian memandangnya dengan serius sebab ia telah dikaitkan dengan kejadian “microcephaly” iaitu kelahiran bayi dengan kepala/otak mengecil dan juga dikaitkan dengan gejala saraf iaitu sindrom “Guillain-Barre”. “Microcephaly” merupakan kecacatan otak/kepala yang kekal yang boleh mempengaruhi kualiti hidup bayi sehingga dewasa.

2

 

b

 

Namun begitu, menghalang kemasukan virus ini ke Malaysia adalah sesuatu yang sukar. Ujian saringan kesihatan umum di pintu masuk adalah tidak praktikal kerana gejalanya yang ringan dan sukar dikesan di samping ketiadaan ujian cepat (point of care test) yang boleh digunakan.

Walaubagaimana pun, Kementerian akan mengambil dan mencadangkan langkah-langkah berikut:-

1. Semua pelawat dari benua Amerika Selatan dan Amerika Tengah serta rakyat Malaysia yang pulang dari benua berkenaan yang mempunyai gejala demam dan bintik-bintik hendaklah melaporkan diri ke Pusat Kuarantin Kesihatan atau Pejabat Kesihatan berhampiran semasa tiba di Malaysia. Buat masa ini terdapat 22 buah negara melaporkan kes Zika virus dari rantau Amerika Latin iaitu Barbados, Bolivia, Brazil, Colombia, Dominican Republic, Ecuador, El Salvador, French Guiana, Guadeloupe, Guatemala, Guyana, Honduras, Martinique, Mexico, Panama, Paraguay, Puerto Rico, Saint Martin, Suriname, U.S. Virgin Islands, Venezuela dan Samoa.

2. Mengedarkan Nasihat Kesihatan (Health Advisory) kepada pelancong dan rakyat Malaysia berkenaan langkah-langkah yang perlu diambil jika gejala sedemikian berlaku. Seterusnya, mereka hendaklah segera ke Klinik Kesihatan berhampiran.

3. Menasihatkan rakyat Malaysia yang mengandung untuk tidak melakukan lawatan ke negara-negara terlibat.

4. Rakyat Malaysia lain yang melakukan perjalanan ke negara terlibat hendaklah mengambil langkah-langkah pencegahan daripada digigit oleh nyamuk Aedes seperti tidak berada di luar semasa waktu puncak gigitan Aedes di awal pagi dan lewat petang, memakai pakaian yang menutupi anggota badan dan menggunakan ubat pencegahan gigitan (repelen) secara tetap.

5. Mengeluarkan “Health Alert” kepada semua fasiliti Kesihatan kerajaan dan swasta.

6. Meningkatkan pemantauan di klinik dan hospital bagi kes yang mempunyai tanda-tanda Zika dan mempunyai sejarah perjalanan ke 22 buah negara yang melaporkan jangkitan Zika virus. Di samping itu, pemantauan bagi kes “microcephaly” juga ditingkatkan di hospital-hospital.

Daripada pemantauan berterusan oleh KKM, sebanyak 288 sampel dari Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan Institut Penyelidikan Perubatan telah diuji dan keputusannya semua adalah negatif untuk zika virus.

Kriteria sampel yang diuji ialah bagi kes-kes yang negatif untuk ujian denggi.

Kementerian Kesihatan sedang dan akan terus meningkatkan usaha mengawal denggi dan nyamuk Aedes.

Namun rakyat Malaysia juga perlu memberi perhatian yang serius dengan bekerjasama dalam menjalankan aktiviti-aktiviti pemusnahan tempat pembiakan secara tetap dan berkala.

Segala usaha masyarakat bagi mencegah denggi hendaklah dipertingkatkan kerana ia juga akan mengurangkan risiko penularan Zika.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...