Seorang tekong bot nelayan melecur di beberapa bahagian badan termasuk di bahagian mukanya apabila telefon bimbit buatan China miliknya yang seang dicas meletup di rumahnya di rumhanya di Kampung Titi Serong, Jalan Dulang di sini.
Menurut mangsa, Muhammad Syawal Md. Isa, 28, memberitahu, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 4 pagi ketika dia bersiap untuk turun ke laut.
“Sebaik sahaja mendengar deringan, saya lantas mengambil telefon dan menjawab panggilan itu. “Ketika telefon baru diletakkan di telinga, tiba-tiba ia terus meletup,” katanya sebagaimana lapor Mingguan Malaysia.
Beliau juga memberitahu bahawa keadaan itu menyebabkan dia pengsan dan dibawa ke hospital dalam keadaan berlumuran darah akibat kejadian.
Difahamkan telefon bimbit buatan China itu dibelinya kira-kira setahun yang lalu.
Mangsa pada mulanya telah dibawa ke Hospital Yan tetapi dipindahkan ke Hospital Sungai Petani bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Menurut Syawal, dia rasa bersyukur panggilan itu tidak dijawab oleh dua anaknya yang masing-masing berusia 3 dan 4 tahun kerana kebiasaannya mereka yang menjawab telefon.
“Sebelum ini saya terbaca mengenai kes renjatan elektrik yang berlaku akibat daripada telefon bimbit. Tidak sangka pula perkara hampir sama berlaku kali ini,” katanya.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail dalam satu kenyataan berkata mangsa mengalami kesan terbakar dengan serpihan besi terdapat di bahagian kanan muka, dada serta tangan kanan.
Selain itu beliau juga berkata kornea mata kanan Syawal mengalami luka dan terdapat serpihan bendasing di dalamnya
“Selain itu, berlaku pendarahan pada telinga kanan mangsa dengan kesan gegendang telinga yang berlubang iaitu pecah dipercayai akibat kesan letupan,” katanya.