Nampaknya Ringgit Malaysia terus menyusut mencecah paras 4.4030 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila pelabur bertindak balas ke atas kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS, Janet Yellen, semalam yang memberi bayangan kadar faedah AS mungkin naik tidak lama lagi.
Pada 10 pagi, ringgit didagangkan pada 4.4030/4100 berbanding dolar AS. Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil langkah bagi membendung turun naik dalam pasaran pertukaran asing.
Ketua Penyelidik Mercury Security Sdn Bhd, Edmund Tham, berkata walaupun bank pusat mengulang kadar dalam negeri bagi mata wang merupakan harga rujukan yang betul dan meminta bank-bank berlesen tempatan menghindari dari memudahkan urus niaga dalam ringgit luar pesisir seperti kontrak hadapan tanpa serahan, ringgit masih terus menyusut.
“Persoalannya sekarang ialah kita perlu melihat apa yang BNM dapat lakukan untuk menstabilkan dan mengukuhkan nilai ringgit berbanding dolar AS.
“Tekanan jualan ringgit dan trend menurun selain aliran menurun mata wang pasaran pesat membangun, terus berlaku disebabkan dolar AS semakin mengukuh.
“Situasi ini perlu dikaji, dan BNM diharap bertindak memandangkan tidak ada yang dapat dilakukan oleh orang ramai,” katanya.