Usahawan salun rambut terkenal, Ridzuan Ridzokumura berlapang dada menerima teguran warganet selepas membawa anak tunggalnya, Sky Taizo Okumura, ke sebuah konsert baru-baru ini.
Menerusi hantaran di TikTok, Ridzuan atau nama sebenarnya Abd Ridzuan Abdul Mutalib, berkongsi tangkap layar mesej peribadi (DM) daripada seorang warganet yang menegurnya.
Rasanya tak payah dedahkan Sky kepada aktiviti macam ini. Dia terlalu muda untuk pendedahan seperti ini. Sepatutnya beri dia galakkan untuk belajar, masa depan dan juga agama.
Dia sangat baik, manalah tahu dia akan jadi profesional suatu hari nanti.
Tidak cepat melatah, Ridzuan menerima teguran itu dengan hati terbuka serta mengakui kekhilafannya membawa Sky ke konsert berkenaan.
Menurutnya, selepas ini dia akan lebih peka terhadap perkara yang bermanfaat buat anaknya.
Saya 100% setuju dengan awak. Ini adalah salah satu situasi di mana ketika itu tiada sesiapa di rumah untuk tolong jaga dia. Semua kawan-kawan saya ada, tapi Sky terus balik sebaik saja lepas persembahan.
Terima kasih atas nasihat, saya hargai sebab awak ambil berat tentang kami. Sekarang saya sudah faham, acara seperti ini tidak sesuai untuk Sky. Selepas ini, saya akan lebih beringat. Maaf.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.