Bertuah sungguh nasib seorang nelayan di Dungun, Terengganu kerana berjaya menaikkan seekor ikan kerapu gergasi seberat 140 kilogram di Terengganu.
Abdullah Abdul Hamid telah menjual ikan kerapu gergasi tersebut dengan harga RM4,900 di Pasar Dungun baru-baru ini.
Abdullah 51 tahun berkata, beliau bersama 3 orang rakannya mengambil masa lebih dari setengah jam untuk menaikkan ikan tersebut ke bot dengan menggunakan mesin bot pukat tunda.
“Rasa sangat teruja dan gembira bila kami dapat menaikkan ikan kerapu gergasi ini kerana ini adalah kali pertama kami menemuinya. Sebelum ini pernah mendaratkan ikan yu yang agak besar namun tidak seberat ini.”
“Kami keluar menangkap ikan di lokasi biasa, iaitu kira-kira tiga jam perjalanan dari jeti Kuala Dungun. Hasil jualan ikan kerapu gergasi ini akan kami bahagikan sama rata untuk empat orang,” katanya memetik laporan Bernama.
Kadang-kadang rezeki tidak pernah salah alamat. Abdullah bapa kepada 8 orang anak ini menganggap ia adalah tuah kepada dirinya kerana beliau berhasrat untuk menyimpan sebahagian wang tersebut untuk kegunaan keluarga.
”Saya difahamkan ada seorang tauke Cina yang membeli ikan tersebut dengan harga RM35 untuk setiap satu kilogram,” katanya yang mengakui semakin bersemangat turun ke laut selepas ini.
Sementara itu, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Zawawi Ali berkata pendaratan ikan gergasi itu menarik perhatian ramai kerana ia jarang berlaku di Terengganu.
”Hanya nelayan yang ‘bertuah’ sahaja akan berjaya menemui ikan kerapu gergasi seperti ini dan penemuannya boleh diibaratkan seperti ‘durian runtuh’ kerana harganya yang mahal,” katanya.
Ingat ya semua, nak dapat ikan besar di lautan memerlukan kesabaran seseorang. Bukan hari ini pergi memancing boleh dapat banyak ikan, kadang-kadang seekor ikan pun tak dapat. Jadi berusahalah untuk terus maju seperti nelayan ini.
Sumber: Bernama