Sebelum ini kami menyiarkan mengenai pengakuan seorang lelaki yang menerima tunangnya bukan lagi seorang gadis suci kerana pernah terlanjur. Ramai memberi respon memuji tindakan lelaki tersebut yang sanggup melupakan kisah silam tunangnya itu kerana budi dan jasa tunangnya itu terhadapnya.
Pengakuan lelaki itu mendapat respon dari seorang wanita yang bergelar isteri mengenai penerimaan lelaki terhadap seorang wanita yang tidak suci sebelum berkahwin:
Bismillahirrahmanirrahim…saya harap sangat post saya ni admin akan post dekat IIUMC, sebab saya nak kongsikan pengalaman yang saya sendiri lalui.
Saya baru empat bulan berkahwin dengan suami saya, dan saya masih belajar di IPTA terkemuka di Malaysia. Ceritanya begini: saya mempunyai masa silam yang sangat dahsyat, yang tak mampu dibayangkan.
Saya telah berzina dan membuat maksiat sebelum saya kenal dengan suami saya. Setahun saya mendiamkan diri dan berubah dan pada ketika itu, pergantungan saya hanya pada Allah.
Saya lupakan dunia, saya kejar cita-cita, dan saya pernah berdoa “Ya Allah , kalau saya diberi peluang untuk mengenali lelaki lagi, kenalkanlah saya dengan jodoh saya ya Allah, saya tak sanggup bercinta dan mmbuang masa, saya pilih jalanMu dan saya bertaubat ya Allah.”
Sebulan selepas saya berdoa sebegitu saya diperkenalkan dengan seorang lelaki yang kini suami saya. Subhanallah.
Wallahi. Dia alim sangat dan langsung tidak pernah menyentuh saya dan sangat menghormati saya sebagai wanita. Kami tidak keluar bersama, langsung tidak bercinta, Beberapa bulan setelah kenal, dia datang berjumpa abah dan terus masuk meminang.
Sebelum bertunang, saya jujur dengan dia saya sudah terlanjur dan saya cerita segala kisah silam saya bukan niat membuka aib tapi saya cuba berterus terang sebab saya tak nak satu hari nanti bila kami bersama lepas nikah, dia dapat tahu dan dia akan tertekan lalu menceraikan saya.
Keseluruhan artikel dengan membece entri ini sebelumnya.
Jadi, saya ambil langkah selamat dengan memberitahu dulu, untuk tidak mengkhianati bakal imam saya. Selepas diberitahu, dia terperanjat dan wallahi, dia tak sangka saya yang kini bertudung labuh mempunyai kisah silam sangat dahsyat ketika dulu.
Selepas memberi dia masa dalam dua bulan menyepi, selepas istikharah yang buat ke sekian kali, dia hantar rombongan merisik daripada keluarga dan tiga bulan selepas itu kami bertunang dan tiga bulan selepas tunang kami bernikah.
Dia terima saya. Wallahi dia kata dia ingin selamatkan saya, seperti apa yang dikatakan tunang ini, dia kata itu cuma kisah silam. Saya gembira, seperti yang kami rasa, suami saya ‘one in a million” bukan?
Ya, betul…tapi jangan sangka, kita pendosa tidak diuji Allah. Bukan senang taubat kita diterima.
Selepas sebulan berkahwin, tiada angin tiada ribut, dia ungkit saya siapa. Allah, sakitnya. Demi Allah, saya taat, patuh pada Allah dan suami saya. Minta maaf setiap hari, tetapi dugaan Allah melebihi segalanya, dia sentiasa ungkit saya perempuan kotor, ramai lelaki dah sentuh, jijik dengan saya sampai dia tak sanggup nak sentuh saya.
Kami yang kononnya ingin bercinta selepas nikah, lenyap begitu sahaja.
Kini, saya masih begini, berbekalkan kekuatan daripada kisah silam saya yang tak sanggup saya ceritakan. Saya masih di sini, belajar, saya isteri, saya anak dan saya juga bakal ibu kepada anak yang berada dalam kandungan saya (5 minggu).
Doakanlah saya diberi kekuatan untuk mengharungi dunia. Saya tidak berniat untuk mengaibkan suami, cuma, saya ingin bercerita, kepada lelaki yang menerima wanita yang terlanjur, terimalah sebenar-benarnya. Jangan separuh jalan dan buat wanita yang dikasihi, jagalah diri anda sebaik-baiknya kerana sekali anda terjerumus ke kancah zina, Allah akan turunkan balasan ‘cash’ di dunia.
Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat. Menerima wanita sebegini bukan sesuatu yang mudah. Saya faham tindakan suami saya dan saya redha. Buat encik tunang, yang menerima bakal isterimu, tahniah…teruskan usaha anda. Ingat, ini TIDAK MUDAH.
– Isteri
Ramai memberi respon kepada wanita ini. ada yang memberi kata-kata semangat dan ada juga yang mencercanya kerana tidak berfikir panjang semasa melakukan dosa.
Bagaimanapun, perkara yang telah berlalu sudah terjadi dan tidak boleh diubah lagi. Apa yang penting ialah kita tidak putus asa dan terus berusaha menjadi insan terbaik. Apa pendapat anda?
Sumber: IIUM Confession