Walaupun mempunyai jalan cerita yang menarik diadaptasi daripada kisah benar dan penuh dengan elemen emosi serta banyak mesej yang tersirat dan teknik CGI yang agak hebat, filem Pulang bagaimanapun kurang mendapat sambutan berbanding filem Hantu Kak Limah yang berjaya mecipta fenomena dan mendapat jumlah kutipan sehingga puluhan juta ringgit.
Berbicara mengenai isu itu, pelakon utamanya, Remy Ishak tidak menafikan penonton Malaysia lebih gemar untuk memilih karya yang lebih ringan. Dalam erti kata lain, mereka tidak mahu sesuatu yang memeningkan kepala dengan berfikir.
Filem itu ibarat idea setiap orang. Kehendak penonton ini kita tak boleh halang. Ada ketika penonton suka yang santai untuk mengisi masa lapang. Ada yang suka cerita-cerita berat dan ada juga yang suka filem berkonsepkan intelektual.
Apabila kutipan filem santai lebih tinggi, di situ kita faham rakyat Malaysia tidak mahu sesuatu yang berat atau perlu berfikir.
Namun, Remy berharap pengkarya seni tidak berputus asa untuk menghasilkan lagi filem yang lebih berkualiti. Satu hari nanti, pasti filem sebegitu akan diterima baik oleh penonton di masa hadapan. Tidak perlu terlalu mengikut ‘trend’ untuk terus menghasilkan filem santai sahaja.
Terdahulu, filem Hantu Kak Limah arahan Mamat Khalid mendapat kutipan sebanyak RM32.5 juta dalam masa 18 hari ditayangkan. Manakala, filem Pulang hanya mendapat kutipan sebanyak RM1 juta dalam masa seminggu.