Abdur Rahman Amir Ruddin, yang pernah mencuri perhatian ramai selepas kehilangan enam ahli keluarganya dalam nahas kemalangan jalan raya di Segamat dua tahun lalu, kini selamat bergelar suami.
Berita gembira itu dikongsikan oleh seorang individu dikenali sebagai @kayrule menerusi satu hantaran di aplikasi TikTok.
Menerusi perkongsian tersebut, kelihatan Abdur Rahman tampil segak mengenakan baju Melayu berwarna putih sambil duduk berhadapan jurunikah ketika majlis akad nikah berlangsung.
“Semoga menjadi suami yang soleh, man (Abdur Rahman),” tulis individu berkenaan dalam kapsyen hantaran tersebut.
Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai majlis perkahwinan termasuk nilai mas kahwin dan hantaran tidak dikongsikan kepada umum.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet menzahirkan ucapan tahniah serta mendoakan agar rumah tangga yang dibina Abdur Rahman kekal bahagia dan diberkati.
Untuk rekod, Abdur Rahman kehilangan ibu bapanya, Amir Ruddin Ismail, 46, dan Norahimah Noor Muhammad, 43, serta empat adik-beradik iaitu Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5, dalam kemalangan tragis di Kilometer 5, Jalan Segamat–Kuantan pada 1 September 2023.
Seorang lagi adiknya, Abdullah Amir Ruddin, yang kini berusia 17 tahun, terselamat dalam kejadian itu namun dilaporkan mengalami kecederaan parah.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
